PETALING JAYA: Tenaga Nasional Bhd. (TNB) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju sektor tenaga negara apabila syarikat itu memenangi Anugerah Jenama Terbaik 2025-2026 pada Anugerah Jenama Dunia.
Pengiktirafan berprestij itu membuktikan kekuatan jenama TNB dalam pasaran serta keupayaannya kekal relevan dalam persekitaran yang semakin berdaya saing.
Pengerusi Forum Jenama Dunia (WBF), Richard Rowles berkata, kejayaan TNB menonjolkan tahap kepercayaan tinggi pengguna terhadap syarikat utiliti negara itu.
“Apabila pengguna mengundi untuk sesuatu jenama, ia bukan sekadar pengiktirafan. Ia adalah pengesahan bahawa jenama tersebut benar-benar dipercayai.
“Undian awam menjadi komponen yang paling signifikan dalam pemilihan pemenang kerana ia menggambarkan penilaian sebenar pengguna. Ia menukar persepsi menjadi bukti dan menjadikan pemasaran lebih bermakna,” katanya.
Dalam pada itu, TNB dalam satu kenyataan berkata, anugerah tersebut melambangkan dedikasi berterusan 35,000 warga kerjanya dalam menyediakan perkhidmatan terbaik serta penyelesaian tenaga kepada lebih 11 juta pelanggan di seluruh negara.
“Kami menghargai sokongan pelanggan dan pihak berkepentingan yang membolehkan TNB terus melangkah ke hadapan ke arah masa depan tenaga yang lebih mampan, dipercayai dan berteraskan pelanggan,” katanya.
TNB merupakan satu-satunya jenama Malaysia yang menerima pengiktirafan bagi kategori tenaga pada edisi kali ini, selepas turut memenangi anugerah sama pada 2014, 2018, 2019 dan 2021.
Anugerah anjuran WBF itu menampilkan sebanyak 1,092 pencalonan daripada seluruh dunia, namun kurang daripada 100 terpilih sebagai Jenama Terbaik. – UTUSAN










