DALAM dunia serba teknologi ini, kita selalu mendengar dua perdebatan sistem telefon pintar masa kini iaitu operasi sistem Apple IOS dan juga Android.
Kedua-dua sistem ini beri pengalaman berbeza kepada pengguna.
Kedua-dua sistem ini juga ada ‘feedback’ dari pengguna yang menyatakan satu ini lebih baik, atau satu lagi ini lebih baik. Debat yang tiada kesudahan sejak teknologi itu diperkenalkan.
Walau bagaimanapun, kali ini penulis bukan ingin berkongsi mengenai perkara tersebut pada pembaca, tetapi penulis ingin berkongsi mengenai pengalaman menggunakan sebuah kenderaan elektrik yang cukup popular atas jalan iaitu Tesla Model Y.
Apa kaitan operasi sistem tersebut dengan kenderaan Tesla ini?
Baiklah, untuk makluman, ini adalah kali pertama penulis memandu uji sebuah kenderaan Tesla dan penulis rasa sangat berbeza pengalaman menggunakan Tesla berbanding jenama EV lain.
Pertama sekali, apa yang kita jelas dapat lihat pada Tesla Model Y kali ini adalah gaya reka bentuknya yang menampilkan perasaan lain daripada yang lain iaitu reka bentuk futuristik yang tidak ‘try hard’ atau boleh dikatakan minimalis tetapi bergaya.
Ya, reka bentuk Model Y kali ini sungguh berbeza dengan versi sebelum ini, kali ini ia menampilkan lampu nyalaan siang (DRL) yang memanjang, mengambil rapat rupa konsep Robotaxi mereka pada versi kali ini, sekali gus memberi sebuah kenderaan yang sedia untuk berada pada era 50 tahun akan datang, mungkin?
Walaubagaimanapun, pada pandangan sisi profil, ia tidak jauh berbeza dengan versi terdahulu, masih menampilkan pengayaan sebuah SUV dengan gaya badan Coupe.
Bagi penulis, reka bentuk badan Model Y ini cukup mudah dikenali apabila bergerak atas jalan, selain menampilkan sentuhan gaya reka bentuk yang ‘futuristik’.
Apa yang unik penulis lihat pada Model Y ini adalah rupa bahagian belakang kenderaan ini, ia menampilkan lampu belakang jenis biasan pada panel belakang, menampakan efek pencahayaan yang unik pada kenderaan ini.
Ini adalah suatu yang baharu penulis pernah lihat sepanjang karier dan apa penulis boleh ungkapkan, Tesla berani melakukan suatu kelainan berbanding pesaing lain untuk nampakkan mereka ‘berbeza’.
Secara keseluruhan, penulis boleh nyatakan Tesla tidak gentar untuk lakukan satu ‘kelainan’ pada kenderaan mereka dan hasilnya masih jelas apabila kenderaan mereka sendiri masih banyak atas jalan.
Masuk kebahagian dalaman, jelas sekali ia menampilkan gaya reka bentuk yang minimalis dan ringkas tanpa ada apa-apa sentuhan gaya yang kelihatan ‘try hard’ untuk menampakkan kereta ini unik.
Bagi penulis, definisi minimalis dalam satu produk adalah suatu perkara yang ringkas namun praktikal, ini kerana jika kita mahu suatu yang lebih ‘direct’ kita tak boleh lenyapkan fungsi utama produk itu.

Kebanyakkan kenderaan yang penulis pernah uji sebelum ini cuba membawakan tema ‘minimalis’ itu, tetapi ia masih tidak berjaya untuk mencapai perkara itu kerana kadang kala penulis terpingga-pingga mencari butang fungsi itu.
Berbeza dengan Model Y kali ini, walaupun ini kali pertama penulis menggunakannya, tetapi penulis rasa senang untuk sebati dengan segala penggunaan kenderaan ini, membuatkan penulis rasa Tesla adalah suatu pilihan terbaik untuk dijadikan EV pertama.
Di Malaysia, model Tesla diposisikan dalam segmen pasaran tempatan sebagai jenama EV Premium dan ya!, ia berjaya membawakan karakter premium itu dalam Model Y ini disamping karakter sci-fi futuristik itu.
Bagi penulis, Model Y ini bukan hanya sekadar untuk dipandu, tetapi untuk ‘hidup’ di dalam kereta itu. Kenapa? Kerana Tesla berjaya memberi keselesaan seperti di dalam ruang sebuah bilik kecil yang selesa penuh dengan kelengkapan utama.
Sejujurnya, Tesla Model Y ini membuatkan penulis tidak mahu keluar dari kereta, kerana disamping sudut keselesaan, terdapat pelbagai interaktif pada paparan infotainmen bersaiz 15.4 inci pada bahagian tengah panel dashboard.
Penulis banyak luangkan masa pada skrin tersebut untuk menonton filem di Netflix dan juga bermain beberapa permainan video untuk ‘merehatkan’ diri dalam kereta.
Baiklah, perkara itu mungkin biasa untuk sesetengah pengguna EV jenama lain. Tetapi apa yang penulis mahu puji adalah ciri yang terdapat dalam infotainmen tersebut yang sangat membantu penggunaan harian dengan Model Y ini.
Walaupun ia tak menyokong sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, tetapi fungsi peta dan navigasi khususnya telah diintegrasi dengan sokongan Google Maps.
Seperti sedia maklum, Google Maps adalah aplikasi navigasi yang paling tepat untuk mendapatkan maklumat lokasi serta keadaan trafik semasa maka ia lebih mudahkan penulis kerana tidak perlu sambungan Apple CarPlay untuk gunakan fungsi itu.
Bukan itu sahaja, dengan fungsi ini juga, penulis boleh terus rancang perjalanan untuk ke suatu lokasi dengan kurang bimbang tentang pusat pengecasan kerana ia mempunyai pilihan untuk mencari pusat pengecasan (jika perlu) pada pertengahan perjalanan ke lokasi ditetapkan.
Tambahan itu, ia bukan sahaja menyatakan jangkaan waktu tiba, tetapi ia turut menyatakan jangkaan peratusan bateri yang akan tinggal setelah tiba ke suatu lokasi. Maka dengan ini, perancangan untuk mengecas akan lebih mudah untuk penulis.
Selain itu juga, ia juga mempunyai peta cuaca langsung yang menunjukkan keadaan cuaca semasa di keseluruhan tempat. Ini juga menjadi poin unik Model Y ini kerana penulis boleh merancang keseluruhan aktiviti harian dengan lebih mudah.
Disebabkan itu penulis menyatakan model Tesla ini adalah ‘Apple’ dan model EV China lain terutamanya adalah ‘Android’ untuk kalangan EV dalam pasaran.
Bagi sudut praktikaliti, Tesla Model Y sememangnya menawarkan ruang yang luas untuk keseluruhan tempat duduk menjadikannya selesa pada setiap pengguna.
Bukan itu sahaja, bukaan pintu but belakang juga sememangnya luas, sesuai untuk mereka yang mungkin mahu lakukan aktiviti seperti berkelah ditepi pantai atau dimana sahaja.

Ini kerana memberi rasa cukup luas untuk meletakkan barangan dalam ruangan tersebut, dan ia boleh diperluaskan lagi apabila barisan kerusi belakang diturunkan dengan hanya fungsi satu button di sisi dalaman but tersebut.
Satu perkara lagi, ia juga terdapat satu lagi ruangan kargo pada bahagian frunk, sesuai untuk meletak barangan basahan atau apa-apa sahaja untuk kegunaan harian dan ia boleh dibuka dengan hanya menggunakan fungsi melalui skrin infotainmen atau aplikasi Tesla di telefon pintar
Model Y yang dipandu penulis adalah varian All Wheel Drive (AWD) Long-Range, apa yang menarik pada varian ini adalah kuasa yang dihantarkan oleh dua motor elektrik varian ini.
Pada pandangan penulis, kereta EV lebih berat dari kereta ICE, jadi hantaran kuasa perlu lebih lagi untuk mendapatkan responsif pedal yang baik ketika atas jalan terutamanya pada situasi memotong ataupun bergerak setelah lampu trafik bertukar hijau.
Bagi penulis, Model Y membawakan definisi kereta yang stabil pada kelajuan tinggi walaupun ia bersaiz besar dan ia membuatkan penulis lebih yakin untuk pandu kereta ini untuk pelbagai situasi samada atas lebuh raya ataupun jalan pendalaman.
Bukan itu sahaja, ia juga mempunyai ciri dimana ia boleh mengesan setiap subjek bergerak di sekeliling kereta seperti kenderaan lain, mahupun pejalan kaki.
Dengan ciri ini, bagi penulis ia dapat membantu memberi lebih visual yang jelas ketika memandu untuk sentiasa berwaspada pada keadaan sekeliling.
Baiklah, untuk makluman, mana-mana model Tesla, ia tiada fungsi knob gear secara fizikal samada di bahagian konsol tengah mahupun belakang stereng ini kerana ia dikawal melalui paparan skrin tengah juga.
Sebelum ini, penulis selalu terfikir, jika tiada ciri ini dan semuanya dikawal melalui skrin tengah, tidakkah ia merumitkan? Penulis silap andaian, setelah memandu kenderaan Tesla untuk satu tempoh panjang, penulis berasa ia sangat memudahkan.
Ini kerana ia telah dioptimumkan mengikut keadaan persekitaran, dimana jika terdapat satu halangan pada bahagian hadapan, kenderaan ini secara automatik akan tukar kepada gear mengundur dan dengan tekan pedal dan pulas stereng sahaja, gear akan ke Drive untuk terus dipandu.
Jadi penulis tidak perlu tukar langsung gear, semua telah diuruskan secara automatik oleh sistem Tesla.
Untuk prestasi elektrifikasi, varian Long Range ini mampu mencapai jarak gerak sehingga sekitar 600KM bergantung pada gaya pemanduan.
Bagi penulis, ia suatu kelebihan yang besar untuk saiz sepertinya, ia bukan sahaja mempunyai ruang yang luas malah mempunyai jarak elektrik yang cukup jauh tidak kira merentas negeri mahupun penggunaan harian dalam bandar.
Selain itu, untuk pengecasan, jika menggunakan pengecasan Tesla Supercharge, ia boleh mendapat jarak lebih 280KM dalam 15 minit tempoh pengecasan dan menariknya, apa yang dimaklumkan pada penulis, pemilik Tesla boleh mengecas secara percuma di Tesla Destination Charger.

Perkara itu beri kelebihan terbaik untuk seluruh pemilik Tesla.
Walaubagaimanapun, untuk pengecasan pantas Tesla Supercharge itu, ia masih terhad untuk beberapa negeri dalam Malaysia, jadi pada pangan penulis, pengguna Tesla perlu merancang sebaiknya perjalanan untuk ke suatu lokasi yang tidak ada pengecasan Tesla ini.
Selain dari ciri dan prestasi, Tesla juga mempunyai ciri keselamatan yang bagi penulis sangat terbaik yang bukan sekadar keselamatan pada pemanduan malah pada pemilikan.
Pada pembaca yang tidak tahu, sekeliling pada kenderaan Tesla terdapat beberapa kamera yang bukan sahaja berfungsi untuk lihat titik buta, malah turut berfungsi sebagai ‘CCTV’.

Melalui Sentry Mode, kamera akan merakam sekiranya terdapat individu yang rapat dengan kereta untuk menjenguk ke dalam kereta. Jadi dengan fungsi ini penulis atau pemilik boleh ulang siar untuk lihat video sekiranya terdapat individu yang rapat dengan kenderaan Tesla ini.
Fungsi ini sedikit sebanyak akan membantu untuk dapatkan lebih maklumat sekiranya terdapat unsur jenayah atau vandalisme pada kenderaan.

Maka dengan ciri yang telah dipermudahkan ini, penulis merasakan Tesla Model Y ini adalah satu kenderaan yang telah dibina untuk memudahkan pengguna selain daripada ciri-ciri yang mungkin sesuai dengan gaya hidup harian tidak kira muda atau tua.
Bagi penulis yang belum pernah ada kenderaan elektrik, sekiranya duit bukan penghalang, mana-mana model Tesla akan menjadi pilihan utama penulis untuk EV pertama dalam garaj.
Bagi varian AWD Long Range ini, ia ditawarkan dengan harga bermula dari RM242,450 tidak termasuk sekiranya pemilik mahu lakukan perubahan dari segi warna luaran atau dalaman serta reka bentuk rim.
Untuk varian lain iaitu Rear-Wheel Drive (RWD), ia ditawarkan dengan harga bermula dari RM195,450 dan mempunyai jarak gerak pada 466KM WLTP.-UTUSAN










