Tengku Zafrul dilantik sebagai Pengerusi MIDA 

Tengku Zafrul dilantik sebagai Pengerusi MIDA 

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa hari ini.

Dalam kenyataan Pejabat Perdana Menteri, Tengku Zafrul juga akan diberikan beberapa tanggungjawab tambahan.

“Selain menerajui MIDA, Tengku Zafrul juga akan diberikan beberapa tanggungjawab tambahan yang sedang diperinci dan diumumkan kemudian oleh Perdana Menteri,” katanya.

Sementara itu, MIDA dalam kenyataan berbeza mengalu-alukan pelantikan Tengku Zafrul yang merupakan langkah strategik untuk memperkukuh keupayaan Malaysia dalam promosi dan pembangunan pelaburan pada tempoh persaingan ekonomi global yang semakin sengit.

MIDA berkata, Tengku Zafrul membawa kelayakan dan pengalaman luar biasa ke MIDA, menggabungkan kepakaran mendalam dalam sektor perkhidmatan kewangan serta dasar kerajaan. 

“Baru-baru ini, beliau menjawat jawatan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) selama tiga tahun (3 Disember 2022 hingga 2 Disember 2025).

“Beliau berjaya membimbing Malaysia melalui rundingan perdagangan yang kompleks, ketegangan geopolitik, serta meletakkan negara sebagai destinasi pelaburan pilihan di tengah-tengah ketidakpastian ekonomi global dan penyusunan semula rantaian bekalan,” katanya.

Semasa menerajui MITI, Tengku Zafrul mencatatkan prestasi pelaburan bersejarah untuk Malaysia dengan mencatatkan RM329.5 bilion pelaburan diluluskan pada 2023, diikuti dengan rekod baharu sebanyak RM378.5 bilion pada 2024, jumlah tertinggi dalam sejarah negara. 

“Momentum ini berterusan ke 2025, dengan Malaysia menarik RM285.2 bilion pelaburan diluluskan dalam sembilan bulan pertama sahaja, mencatat kenaikan 13.2 peratus tahun ke tahun walaupun menghadapi cabaran ekonomi global.

Beliau memimpin pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, memacu Strategi Semikonduktor Nasional, Strategi Pelaburan Hijau, Peta Jalan Industri Kimia, Rangka Kerja Industri ESG, dan Rangka Kerja Polisi Ekonomi Kitar Semula, yang meletakkan Malaysia secara strategik dalam integrasi ekonomi ASEAN. 

Beliau juga berjaya menamatkan Perjanjian Perdagangan Timbal Balik Malaysia-AS, yang melindungi akses pasaran Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, di bawah kepimpinan Tengku Zafrul di MITI, Malaysia mencapai rekod kelulusan pelaburan dan meningkatkan kadar pelaksanaan projek secara signifikan. 

“Pelantikannya sebagai Pengerusi MIDA memastikan kesinambungan arah strategik sambil membawa dorongan baharu kepada keutamaan operasi kami. Kami yakin kepimpinannya akan terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pelaburan terkemuka,” jelasnya.

Latar belakang akademik Tengku Zafrul termasuk BSc (Kepujian) dalam Ekonomi dan Perakaunan dari University of Bristol, MSc dari University of Exeter dan Executive MBA dari People’s Bank of China School of Finance, Tsinghua University. 

Beliau juga merupakan Fellow Chartered Banker dengan Asian Institute of Chartered Bankers. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN