Sektor pembinaan dijangka tumbuh 26 peratus pada 2026 - Utusan Malaysia

Sektor pembinaan dijangka tumbuh 26 peratus pada 2026

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor pembinaan Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan pendapatan teras sebanyak 26 peratus pada 2026, disokong oleh keterlihatan buku pesanan yang kukuh dan lonjakan tender di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026–2030.

CIMB Securities berkata, buku pesanan bagi kontraktor tempatan meningkat tujuh peratus tahun ke tahun kepada tiga kali ganda pada suku ketiga 2025, berbanding 2.8 kali pada suku sama tahun sebelumnya.

Katanya, pertumbuhan ini dijangka berterusan pada 2027 dengan kadar 28 peratus, meningkat daripada 16 peratus pada 2025.

“Faktor sokongan utama termasuk pelaksanaan berterusan pusat data (DC) berskala besar dan kebangkitan semula projek bangunan industri,” katanya dalam nota penyelidikan.

Firma penyelidikan berkata, prospek buku pesanan untuk separuh pertama 2026 disandarkan pada peruntukan pembangunan sebanyak RM430 bilion di bawah RMK13, meningkat RM15 bilion atau 3.6 peratus berbanding RMK12.

Menurutnya, perbelanjaan pembangunan tahunan dijangka mencapai RM86 bilion sepanjang 2026 hingga 2030, dengan suntikan dana tambahan daripada entiti berkaitan kerajaan dan kerjasama awam-swasta (PPP).

“Momentum tender sudah menunjukkan tanda awal percepatan dengan penganugerahan projek seperti dua pakej cerucuk Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulau Pinang bernilai RM101 juta kepada Econpile Holdings Bhd. dan pakej Seksyen 1 Limbang bagi Lebuhraya Pantai Utara Sarawak bernilai RM1.1 bilion kepada syarikat usaha sama (JV) Naim Holdings Bhd. dan Gamuda Berhad.

“Namun, lonjakan kos logistik dan bahan utama antara 15 peratus hingga 40 peratus berpotensi melambatkan penyampaian projek dan meningkatkan risiko margin bagi projek domestik.

“Kos pembinaan dianggarkan meningkat sehingga tiga peratus jika gangguan rantaian bekalan berterusan,” ujarnya.

CIMB Securities berkata, langkah pelepasan di bawah peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dijangka sedikit mengurangkan tekanan kos, termasuk melalui pemisahan kontrak bahan dan perkhidmatan serta pengecualian bagi komponen kediaman dalam projek bercampur.

Firma mengekalkan pandangan ‘overweight’ dalam sektor pembinaan dengan mengesyorkan ‘beli’ untuk saham Gamuda dan IJM Corporation Bhd. pada separuh pertama 2026, berikutan aliran pesanan yang baik, asas pendapatan pelbagai dan pengembangan antarabangsa.

Selain itu, firma juga menyenaraikan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dan Econpile Holdings Bhd. sebagai pilihan ‘beli’ untuk pelabur yang mencari pendedahan alpha atau saham berkapitalisasi kecil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN