PETALING JAYA: Ringgit meneruskan mengekalkan momentum menaiknya apabila dibuka sedikit lebih tinggi berbanding dolar AS pada hari ini.
Ketika pasaran dibukan dolar AS merosot menjelang minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) hari ini.
Pada pukul 8 pagi, mata wang tempatan itu meningkat sedikit kepada 4.0500/0670 berbanding dolar AS daripada penutupan Isnin pada 4.0580/0625.
Menurut laporan, pengumuman minit FOMC dijangka menjadi tumpuan utama pasaran hari ini, dengan kalendar ekonomi sebaliknya tipis di kebanyakan pasaran menjelang cuti Tahun Baru.
Pada masa yang sama, pelabur terus menilai kemungkinan pemotongan kadar faedah selanjutnya oleh Rizab Persekutuan AS pada 2026, susulan pengurangan 25 mata asas yang disampaikan pada mesyuarat dasar Disember.
Sementara itu, penganalisis berpendapat daya tahan ringgit semakin didorong oleh dinamik aliran domestik dan bukannya sentimen risiko luaran.
Menurut mereka, keadaan kecairan akhir tahun dijangka kekal tipis, tetapi arah aliran asas memihak kepada nota tempatan.
Penukaran eksport, aliran masuk portfolio dan aktiviti lindung nilai korporat terus memihak kepada ringgit, mewujudkan bekalan dolar AS yang berterusan di pasaran tempatan. – UTUSAN










