PETALING JAYA: Mata wang tempatan mengekalkan aliran positif berbanding mata wang serantau, terus diniagakan di paras RM4.0 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dipacu sentimen domestik yang baik susulan pengumuman khas pelantikan anggota Kabinet baharu pada Selasa.
Pada awal dagangan semalam, ringgit diniagakan pada 4.0790/0830, sekali gus mencapai prestasi tertinggi dalam tempoh hampir lima tahun.
Mata wang tempatan kemudian ditutup mendatar pada 4.0860/4.0900 berbanding 4.0850/4.0900 ketika ditutup kelmarin.
Ringgit turut mengukuh berbanding mata wang serantau iaitu sebanyak 3.1601/3.1651 berbanding dolar Singapura berbanding 3.1651/3.1699 pada Selasa dan menokok dalam yen Jepun pada 2.6273/2.6301 daripada 2.6377/4.0900.
Sementara itu, rupiah Indonesia stabil pada 0.0245/0.0245 dan baht Thailand susut kepada 12.9653/12.9821 daripada 12.9559/12.9841 pada hari sebelumnya.
Dari awal tahun hingga kini, mata wang negara mengukuh kira-kira 8.74 peratus berbanding dolar AS dan 10.87 peratus daripada rupiah Indonesia.
Profesor Ekonomi Sunway University, Dr. Yeah Kim Leng berkata, pengukuhan ringgit kebelakangan ini banyak dipengaruhi oleh pemotongan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS), di samping asas ekonomi Malaysia yang kukuh.
Kataya, jangkaan pemotongan kadar faedah Fed tahun depan memberi tekanan kepada dolar AS dan kebanyakan mata wang, termasuk ringgit, menunjukkan permintaan yang kukuh.
“Asas ekonomi domestik Malaysia kekal positif dengan pertumbuhan ekonomi yang stabil, rizab asing meningkat dan defisit fiskal semakin mengecil. Kedua-dua faktor ekonomi dan perdagangan ini menyokong ringgit.
“Terdapat kemungkinan ringgit boleh menembusi paras bawah RM4 menjelang akhir tahun, namun saya lebih berpendapat ia akan dicapai pada separuh pertama tahun depan, terutamanya jika Fed melakukan pemotongan kadar faedah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, kebarangkalian bagi Fed memotong kadar faedah tahun depan adalah besar disebabkan tekanan inflasi dan tahap hutang AS yang tinggi, sekitar AS$38 trilion (RM155 trilion), yang mendorong pengurangan kadar faedah dan cukai.
“Bila pemotongan kadar akan dilaksanakan bergantung kepada tekanan inflasi. Jika pertumbuhan perlahan tetapi inflasi kekal tinggi, Fed menghadapi dilema kerana memotong kadar untuk merangsang pertumbuhan boleh memburukkan inflasi.
“Berdasarkan jangkaan semasa dalam mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC), dua pemotongan kadar tahun depan.
“Perkara ini sudah pasti dapat mengukuhkan ringgit serta berpotensi menembusi paras bawah RM4 berbanding dolar AS,” jelasnya. – UTUSAN










