PETALING JAYA: Keputusan kewangan syarikat-syarikat pada suku ketiga memberangsangkan dengan rata-rata penilaian saham di Bursa Malaysia berada pada julat yang kompetitif, kata penganalisis.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd. Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, nilai FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berlegar disekitar 15.5 kali berbanding purata jangka panjang 16.6 kali.
“Sektor seperti perbankan dan pembinaan dilihat banyak mencatatkan prestasi yang melebihi jangkaan penganalisis ekuiti berbanding sektor automotif, kesihatan, sarung tangan getah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh penganalisi ekuiti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, secara umumnya, keputusan kewangan masih bercampur-campur jika dibandingkan apa yang dijangkakan oleh para penganalisis dengan keputusan sebenar syarikat yang disenaraikan.
“Aktiviti jualan bersih dalam kalangan para pelabur asing menunjukkan mereka masih lagi teragak-agak untuk membeli saham-saham syarikat tersenarai di Bursa Malaysia,” jelasnya.
Sementara itu, CIMB Securities berkata, musim keputusan suku ketiga 2025 menunjukkan petanda pemulihan apabila lebih banyak syarikat melapor keputusan melepasi jangkaan, dengan 21 peratus syarikat mengatasi unjuran penganalisis.
Firma penyelidikan berkata, ini menunjukkan peningkatan daripada 16 peratus pada suku kedua, manakala 27 peratus berada di bawah jangkaan.
Jelasnya, bisbah ‘beat-to-miss’ juga bertambah baik kepada 0.78 kali daripada 0.55 kali pada suku sebelumnya.
“Prestasi FBM KLCI juga lebih kukuh dengan 27 peratus kaunter indeks melepasi jangkaan dan hanya 15 peratus mencatat prestasi lebih rendah, menjadikan nisbah ‘beat-to-miss’ meningkat kepada 1.8 kali bagi suku ketiga 2025.
“Keuntungan bersih agregat suku ketiga susut 0.8 peratus tahun ke tahun berikutan kerugian di Petronas Chemicals, namun meningkat 1.8 peratus suku ke suku. Tanpa mengambil kira Petronas Chemicals dan Hi Mobility, keuntungan bersih teras meningkat 3.1 peratus tahun ketahun dan 2.9 peratus suku ke suku.
“Prestasi ini dicapai walaupun berlaku pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) lebih tinggi pada 1 Julai, tarif import Amerika Syarikat (AS) 19 peratus pada 8 Ogos serta rasionalisasi subsidi RON95 pada 30 September,” jelasnya.
CIMB Securities berkata, berkata, peningkatan keuntungan turut disokong pemotongan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus, tarif elektrik lebih rendah serta agihan tunai sekali beri berjumlah RM2 bilion kepada rakyat Malaysia antara Ogos dan Disember.
“Sektor bahan binaan, perladangan, pengangkutan, pengguna, pembinaan dan sarung tangan getah melapor pertumbuhan positif, manakala perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS), minyak dan gas serta gaming mencatat penyusutan paling ketara.
Berikutan keputusan suku ketiga, CIMB Securities mengunjurkan pertumbuhan pendapatan FBM KLCI bagi 2025 naik kepada 1.4 peratus berbanding 0.9 peratus sebelum ini, manakala unjuran 2026 disemak kepada 6.4 peratus.
“Sasaran FBM KLCI akhir 2025 turut dinaikkan kepada 1,665 mata daripada 1,605 mata berdasarkan harga kepada pendapatan (P/E) 15.8 kali, sejajar prospek lebih positif dalam sektor perbankan dan pengangkutan.
Antara saham berkapitalisasi besar pilihan utama ialah RHB Bank, Hong Leong Bank, IJM, 99 Speedmart, IHH Healthcare, SD Guthrie, Tenaga Nasional, UEM Sunrise, Westports, Axis REIT, Pavilion REIT dan Telekom Malaysia.-UTUSAN










