Pemegang saham Jentayu Sustainables gesa EGM ditangguh

Pemegang saham Jentayu Sustainables gesa EGM ditangguh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemegang saham Jentayu Sustainables Berhad menggesa Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) syarikat yang dijadualkan pada 4 Disember 2025 ditangguhkan susulan pemfailan tindakan mahkamah yang mencabar kesahan mesyuarat tersebut dan beberapa cadangan urus niaga korporat.

Mak LK & Co, peguam yang mewakili Andy Lai Wee Young berkata, Andy yang memegang 1,361,000 saham Jentayu telah memfailkan saman pemula (OS) serta permohonan injunksi pada 28 November 2025 bagi menghalang syarikat daripada mengadakan atau melaksanakan sebarang resolusi yang mungkin diluluskan melalui EGM yang ‘ditangguhkan’ itu. 

Katanya, mahkamah tinggi telah menetapkan tarikh pendengaran permohonan injunksi tersebut pada 5 Disember 2025.

Jelasnya, dokumen mahkamah menunjukkan Andy mempertikaikan kesahan keputusan syarikat untuk menangguhkan EGM daripada tarikh asal 22 Oktober 2025 ke 4 Disember 2025. 

“Menurut pemfailannya, perlembagaan syarikat, khususnya Artikel 70 dan 71  tidak memberi kuasa kepada lembaga pengarah untuk menangguhkan EGM selepas notis dikeluarkan.

“Sebaliknya, sebarang penangguhan hanya boleh dibuat selepas mesyuarat bermula dan hanya dengan persetujuan pemegang saham yang hadir.

“Memandangkan tiada mesyuarat berlangsung pada 22 Oktober, Andy berhujah bahawa tiada penangguhan yang sah boleh berlaku, menjadikan tarikh baharu EGM tersebut tidak sah,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Mak LK & Co berkata, afidavit Andy turut menyorot percanggahan antara borang proksi untuk EGM asal dan tarikh rekod pendeposit (ROD) yang digunakan bagi mesyuarat yang dijadualkan semula.

Katanya, borang proksi terdahulu, yang dikeluarkan bersama notis bertarikh 3 September 2025, merujuk kepada tarikh ROD 16 Oktober 2025. 

“Namun, EGM yang dikatakan ditangguhkan itu menggunakan tarikh ROD berbeza, iaitu 27 November 2025 yang menurutnya boleh mendedahkan syarikat kepada risiko pelanggaran Keperluan Penyenaraian Bursa Malaysia.

“Andy juga berhujah bahawa syarikat gagal menjelaskan sama ada dokumen pemeriksaan

mandatori seperti yang dinyatakan dalam surat pekeliling pemegang saham masih tersedia untuk diteliti sehingga tarikh mesyuarat baharu. Kegagalan ini juga mungkin melanggar garis panduan bursa,” jelasnya.

Memandangkan prosiding mahkamah tinggi masih berjalan dan dakwaan ketidakaturan prosedur, Andy menggesa syarikat untuk menangguhkan EGM sehingga mahkamah membuat keputusan. 

“Beliau berpendapat bahawa meneruskan mesyuarat akan mengabaikan tadbir urus yang betul, menjejaskan hak pemegang saham, dan berpotensi mendedahkan syarikat kepada komplikasi undang-undang yang lebih besar.

“Tindakan undang-undangnya didorong oleh hasrat untuk memastikan ketelusan, pematuhan undang-undang dan perlindungan kepentingan pemegang saham,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN