OTS Holdings labur RM40 juta bina kilang pembuatan makanan halal di Johor - Utusan Malaysia

OTS Holdings labur RM40 juta bina kilang pembuatan makanan halal di Johor

ONG Bee Chip (tiga dari kanan) bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor Lee Ting Han (tiga dari kiri) dan Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Teknologi Makanan & Industri Berasaskan Sumber, MIDA, Wan Hariati Wan Salleh pada masjlis pembukaan kilang itu di Simpang Renggam, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: OTS Holdings Limited (OTS Holdings) melancarkan pembukaan rasmi kilang pembuatan makanan halal terbaharunya di Simpang Renggam, Johor dengan jumlah pelaburan kira-kira RM40 juta.

Pembina jenama dan kumpulan pembuatan makanan yang berasal dari Singapura itu membina kilang baharu yang diperakui halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada Ogos 2025 dan dilengkapi dengan sistem automasi serta pemprosesan yang maju.

Pengarah Urusan Kumpulan, Ong Bee Chip berkata, fasiliti baharu itu mencerminkan komitmen kami dalam memenuhi keperluan pengguna Muslim yang terus berkembang dari segi nilai dan permintaan.

“Fokus kami bukan sekadar meningkatkan jumlah pengeluaran, tetapi menghasilkan produk yang selari dengan nilai dan jangkaan komuniti Muslim, sambil mengekalkan piawaian ketat dalam kualiti dan keselamatan makanan.

“Kami menyasarkan pasaran pengguna Muslim yang semakin berkembang di dalam dan luar negara dari Singapura dan Malaysia hingga ke Timur Tengah, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Afrika.

“Kapasiti pengeluaran yang dipertingkatkan ini juga akan mengukuhkan keupayaan eksport kami, meluaskan lagi jenama halal dipercayai serta produk berkualiti tinggi kami kepada audiens yang lebih besar di peringkat global,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kilang itu akan meningkatkan kapasiti pengeluaran halal kumpulan sehingga 200 tan sebulan iaitu lebih tiga kali ganda daripada output pengeluaran halal di Singapura.

“Ini sekali gus mengukuhkan keupayaannya untuk memenuhi permintaan pengguna halal yang semakin meningkat di rantau ini.

“Pencapaian ini turut menandakan langkah penting dalam peluasan serantau kumpulan, meningkatkan kecekapan dan daya saing sambil menyokong permintaan halal yang semakin meningkat di pasaran Singapura, Malaysia dan antarabangsa,” ujarnya.

Menurut ulasan Belanjawan Malaysia 2026, pada separuh pertama 2025 sahaja, eksport halal Malaysia mencecah kira-kira RM29.3 bilion, merangkumi 16.1 peratsus daripada jumlah eksport negara.

Hal ini menunjukkan angka eksport yang dijangka jauh lebih tinggi menjelang akhir 2026, seiring dengan permintaan global yang semakin meningkat terhadap produk halal, sekali gus mengukuhkan kepentingan strategik industri makanan halal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN