KUALA LUMPUR: Oriental Kopi terus mengukuhkan kehadirannya di pasaran tempatan dengan menyasarkan 10 pembukaan restoran baharu setiap tahun, dengan keutamaan di lapangan terbang dan pusat membeli-belah utama.
Antara lokasi yang dirancang termasuk Queensbay Mall, Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) I, KLIA2 Departure Satellite, Sunway Velocity, Merdeka II8, IJM Penang dan Sabah.
Pengarah Eksekutif Oriental Kopi Holdings Berhad, Callie Chan Yen Min, pihaknya menumpukan kepada lokasi yang mempunyai trafik tinggi dan kawasan pelancongan.
“Strategi pengembangan ini bertujuan untuk memanfaatkan peningkatan bilangan pelawat ke Malaysia.
“Pada masa ini, Oriental Kopi mempunyai restoran di KLIA2, TRX, Pavilion KL dan KLCC yang dipilih secara strategik untuk menarik aliran pelancong yang semakin meningkat,” katanya dalam pembentangan Persidangan Bursa Malaysia – Hong Leong Investment Bank Stratum Focus XX di Bursa Malaysia semalam.
Menurut beliau, kedatangan pelawat dari Singapura, sebagai kumpulan pengunjung terbesar, turut menyokong kejayaan cawangan di Johor.
“Bagi meningkatkan keselesaan pelancong, Oriental Kopi menawarkan menu dalam bahasa Mandarin dan Inggeris serta pilihan pembayaran digital yang mudah.
“Dengan strategi ini, Oriental Kopi berharap dapat memperluas pasaran dalam sektor makanan dan minuman (F&B) yang berkembang pesat, sambil meningkatkan pengalaman kulinari pelancong di Malaysia,” katanya.
Selain itu, Oriental Kopi kini memfokuskan pengembangan domestik, iaitu 99 peratus pelanggan dari Malaysia.
“Syarikat melihat banyak peluang pertumbuhan di beberapa wilayah yang masih belum diterokai, termasuk Pantai Timur, Kedah, Ipoh, Perak, Pahang, Genting, Pahang dan Sabah.
“Kami baru sahaja membuka cawangan pertama di Sabah dan masih melihat banyak potensi untuk berkembang.
“Asalkan ada peluang, kami tidak menetapkan had maksimum bagi pembukaan cawangan baharu,” katanya.
Dalam usaha meningkatkan keterlihatan jenama, Oriental Kopi sedang berbincang dengan Tourism Malaysia dan merancang kempen pemasaran di platform digital seperti TikTok dan Agoda.
“Selain itu, syarikat juga menggiatkan promosi melalui kerjasama dengan bank.
“Contohnya, pelanggan UOB boleh menikmati kopi putih percuma, manakala pengguna Maybank boleh membeli produk kaya mereka dengan harga RM5.
“Sumbangan pelancongan kepada perniagaan syarikat dianggarkan sekitar lima peratus hingga 10 peratus, bergantung kepada musim pelancong,” katanya. – UTUSAN










