PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan pelantikan Mohamad Hafiz Kassim sebagai Ketua Pegawai Pelaburan (CIO) dan Ahmad Rizal Omar sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) baharu, berkuat kuasa mulai 1 Disember 2025.
Menurut kenyataannya, Mohamad Hafiz menggantikan Rohaya Mohammad Yusof, yang telah menerajui Bahagian Pelaburan selama lebih lima tahun.
Mohamad Hafiz telah berkhidmat di KWSP sejak 2008, memegang pelbagai jawatan kepimpinan kanan merentasi portfolio Ekuiti Persendirian, Pasaran Persendirian, Pasaran Modal dan Hartanah.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Kwasa Land Sdn. Bhd. dari 2020 hingga 2021.
Dengan lebih 25 tahun pengalaman merangkumi bidang perakaunan, ekuiti persendirian dan pendapatan tetap, Mohamad Hafiz memiliki Ijazah Sarjana Muda (Ekonomi) dalam Perakaunan dan Kewangan dari London School of Economics and Political Science.

Sementara itu, Ahmad Rizal yang sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Kewangan, menggantikan Mohamad Hafiz sebagai CFO.
Beliau merupakan seorang akauntan bertauliah dengan pengalaman lebih daripada 20 tahun dan memiliki Ijazah Sarjana Kewangan dari University of Cambridge dan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Perakaunan) dari Royal Melbourne Institute of Technology.
Sebelum menyertai KWSP, beliau berkhidmat sebagai CFO di PLUS Malaysia Bhd. serta memegang jawatan-jawatan kanan di Istanbul Sabiha Gökçen International Airport, Malaysia Airports Holdings Bhd., Khazanah Nasional Bhd. dan Axiata Group Bhd. .
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, Mohamad Hafiz membawa pengalaman yang luas, kepimpinan yang mantap serta pemahaman yang tinggi terhadap falsafah pelaburan jangka panjang KWSP.
“Latar belakang beliau dalam bidang pelaburan dan kewangan menempatkan beliau sebagai individu yang tepat untuk menerajui portfolio penting ini.
“Kami yakin bahawa di bawah kepimpinan beliau, KWSP akan terus memberikan pulangan yang berdaya tahan dan mampan kepada ahli.
“Kami juga mengucapkan tahniah kepada Ahmad Rizal atas pelantikan sebagai CFO yang baharu. Kepimpinan dan kepakaran kewangan beliau akan terus memperkukuh pengurusan kewangan dan tadbir urus KWSP,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, KWSP turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Rohaya atas khidmat bakti dan kepimpinan cemerlang beliau.
“Kepimpinan dan integriti beliau telah memperkukuh keupayaan pelaburan KWSP serta membantu melindungi simpanan persaraan ahli dalam tempoh yang mencabar dan transformasi.
“Kami mengucapkan terima kasih yang setulusnya dan mendoakan kejayaan beliau dalam fasa seterusnya,” ujarnya. – UTUSAN










