DALAM dekad yang akan membentuk semula landskap ekonomi global, Asia sedang muncul sebagai enjin baharu pertumbuhan digital.
Ekonomi digital serantau yang kini bernilai AS$300 bilion (RM1.239 trilion) mencecah AS$1 trilion (RM4.131 trilion) sebelum 2030 dan ASEAN bakal berada di pusat transformasi tersebut.
Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) yang akan berkuat kuasa menjelang 2026 menjanjikan sesuatu yang berskala besar iaitu pasaran digital tunggal bernilai AS$2 trilion (RM8.262 trilion).
Namun, pertumbuhan berskala ini tidak akan berlaku hanya dengan polisi atau aspirasi. la memerlukan sesuatu yang lebih asas iaitu infrastruktur kesalinghubungan yang lancar dan diyakini dengan kependaman ultra rendah di seluruh ASEAN.
Dalam era DEFA, kedudukan strategik Malaysia di antara Thailand dan Singapura menjadi aset strategik. Ketika ASEAN bergerak ke arah penyelarasan aliran data, perdagangan digital dan keselamatan siber, Malaysia mempunyai kelebihan struktural untuk menjadi jambatan digital utama Asia Tenggara.
Jika sebelum ini wilayah utara Malaysia dilihat sebagai zon industri tradisional, DEFA mengubah naratif tersebut.
la menyeragamkan peraturan aliran data rentas sempadan, perdagangan digital dan keselamatan siber dan beroperasi sebagai pasaran digital tunggal ASEAN merangkumi 680 juta penduduk menjelang 2026.
Perkembangan ini membuka peluang untuk memastikan platform digital global dapat mencapai wilayah Asia Tenggara dengan kadar kependaman yang lebih rendah dan aspek kawal selia yang jelas.
Projek Delapan di Bukit Kayu Hitam mewakili langkah strategik pertama Malaysia untuk membuka koridor digital serantau, menyokong ekosistem teknologi awan (cloud), kecerdasan buatan (Al), penghantaran kandungan dan ekosistem internet kebendaan (IoT).
la isyarat bahawa Malaysia bersedia untuk memimpin naratif baharu kesalinghubungan ASEAN.
Semua ini digerakkan menerusi pusat data berprestasi tinggi, bersifat neutral pembawa (carrier-neutral) serta Internet Exchange (IX).
Selain itu, daripada perspektif IX, Projek Delapan mempunyai kedudukan unik untuk menjadi hab ekosistem rangkai padan serantau dan membolehkan penghalaan ultrarendah antara Thailand, Malaysia dan Singapura.
Ia turut menyokong keperluan keteguhan data selaras dengan kerangka DEFA, menarik penggiat global dalam bidang teknologi berteraskan awan dan rangkaian penghantaran kandungan (CDN) serta memperkembangkan bakat tempatan Malaysia.
Sementara itu, gabungan antara Delapan dan ekosistem pembuatan bertaraf dunia dalam Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) memberikan ASEAN sesuatu yang belum pernah wujud iaitu koridor silikon dan digital pertama yang benar-benar menyeluruh di rantau ini.
NCER turut mempamerkan momentum pelaburan yang kukuh, apabila Kedah sahaja mencatatkan pelaburan terealisasi sebanyak RM20.38 bilion pada 2024, hampir dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya.
Justeru, infrastruktur digital hari ini bukan lagi pelengkap, tetapi prasyarat untuk meneruskan lonjakan sebegini. Pusat data, Internet Exchange dan infrastruktur kesalinghubungan rentas sempadan kini sama pentingnya dengan lebuh raya dan taman perindustrian.
Infrastruktur ini sejajar dengan agenda nasional Malaysia, seperti digagaskan dalam Belanjawan MADANI Keempat melalui projek Delapan bernilai RM2.7 bilion.
Ia menekankan pengagihan pelaburan serantau secara konsisten, penciptaan pekerjaan bernilai tinggi, kesiapsiagaan perdagangan digital dan infrastruktur rentas sempadan yang berdaya tahan bagi memastikan akses, keterangkuman dan peluang melangkaui bandar-bandar utama.
Dalam konteks ASEAN, kependaman rendah memberikan kelebihan daya saing, penghalaan setempat menjimatkan kos dan meningkatkan pengalaman pengguna, sementara penyepaduan IX rentas sempadan akan memastikan prestasi yang konsisten.
Ekosistem Delapan disokong oleh kapasiti pusat data generasi baharu berketumpatan tinggi serta keupayaan kesalinghubungan bertaraf dunia direka untuk menyokong rangkai padan bertaraf global, beban kerja Al dan keperluan ekonomi digital ASEAN yang berkembang pesat.
Tuntasnya, gagasan DEFA dan penyedia IX tempatan di wilayah utara akan membuka laluan baharu kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang merupakan 97 peratus daripada sektor perniagaan ASEAN.
Dengan IX di utara dan laluan rentas sempadan berprestasi tinggi, PKS tidak lagi terhad oleh lokasi.
Sektor PKS berupaya mencapai pasaran serantau dengan lebih cekap, di samping memberikan kesalinghubungan global yang stabil dan terjamin kepada pengendali perkhidmatan digital dan operator semikonduktor.
Hal ini memastikan transformasi digital yang berlaku adalah benar-benar bermakna, bukan hanya soal tahap kelajuan Internet, sebaliknya, membuka peluang yang lebih adil buat semua.
Dalam pada itu, blok ASEAN dijangka menjadi ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2045.
Dengan DEFA sebagai kerangka dasar, dipacu oleh Delapan dan dan penyedia IX bertaraf dunia, Malaysia kini bersedia untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang yang belum pernah wujud, sekali gus membina asas sebuah ASEAN yang lebih terhubung, inklusif dan makmur.
DE-CIX Malaysia bersedia menggerakkan gelombang kesalinghubungan ASEAN yang seterusnya.
Penulis adalah Ahli Lembaga Pengurusan, DE-CIX Malaysia










