KUALA LUMPUR: Malaysia Brand Day 2026 menyasarkan perluasan ekosistem penjenamaan dalam pasaran antarabangsa melalui jenama tempatan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Platform berkenaan dilancarkan sebagai inisiatif untuk meningkatkan daya saing PKS, membina keyakinan pengguna terhadap jenama Malaysia dan membuka peluang pasaran yang lebih luas untuk perniagaan seluruh negara.
Pengerusi Penganjur Malaysia Brand Day, Eden Yap berkata, inisiatif itu direka untuk menjana impak jangka panjang, selaras pertumbuhan nilai ekonomi inklusif.
“Walaupun perubahan dalam tahap perbelanjaan isi rumah terhadap jenama tempatan mungkin kelihatan kecil, impaknya besar kerana berupaya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, mengukuhkan PKS serta menjadikan ekonomi negara lebih berdaya tahan.
“PKS menyumbang kira-kira 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara manakala pekerja PKS menyumbang 48 peratus kepada seluruh tenaga kerja negara,” katanya semasa sidang media di ibu negara, hari ini.
Mengulas lanjut, Eden berkata, platform itu turut menghubungkan jenama secara langsung dengan pembeli, pelabur, pembuat dasar dan pasaran global, membolehkan peluang perniagaan sebenar dan pertumbuhan bersama merentasi industri.
“Rakan strategi, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan menerajui sesi pemadanan perniagaan bernilai tinggi dengan membawa masuk 20 pembeli premium dari ASEAN dan China, sekali gus membuka laluan sebenar kepada perluasan eksport dan akses pasaran serantau.
“Pada masa sama, rakan pelaburan dan pengumpulan dana rasmi, PitchIn akan membentangkan peluang pembiayaan untuk syarikat-syarikat Malaysia, berkongsi pandangan mengenai kesediaan pelaburan, modal pertumbuhan dan usaha penskalaan merentasi sempadan,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Penjenamaan Malaysia, Datin Winnie Loo berkata, inisiatif itu berupaya mengubah persepsi lapuk, produk luar lebih baik daripada jenama tempatan.
“Malaysia tidak kekurangan bakat, idea atau produk. Apa yang diperlukan sekarang ialah identiti nasional yang kukuh untuk penjenamaan serta platform yang konsisten sebagai pentas kecemerlangan.
“Penjenamaan bukan sahaja penting untuk perniagaan, malah mencorakkan cara dunia melihat negara kita,” katanya.
Hari Jenama Malaysia 2026 akan berlangsung selama tiga hari bermula 8 hingga 10 Januari 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. – UTUSAN










