PETALING JAYA: Majestic Gen mengukuhkan lagi kedudukannya di Wilayah Utara selepas memuktamadkan pembelian tiga lot tanah pegangan bebas bernilai RM75 juta di Jalan Anson, George Town, salah satu lokasi paling strategik dan matang di Pulau Pinang.
Tanah berkeluasan lantai kasar kira-kira 2.74 hektar itu diperoleh melalui Dynamic Gates Sdn. Bhd. (DGSB), sebuah syarikat tujuan khas (SPV) di bawah inisiatif penswastaan Paramount Corporation Bhd.
Ketika ini, tanah berkenaan disewakan kepada UOW Malaysia KDU Penang University College.
Nilai pemerolehan yang melebihi penilaian rasmi RM70 juta itu mencerminkan keyakinan Majestic Gen terhadap potensi pertumbuhan jangka panjang kawasan tersebut, yang berada di tengah-tengah pusat budaya, pendidikan dan komersial di negeri itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Majestic Gen, Datuk Hoo Kim See berkata, pembelian tanah di Jalan Anson merupakan pencapaian penting dalam strategi perluasan kumpulan di negeri berkenaan.
“Pulau Pinang terus menjadi pasaran yang kukuh dan berkembang. Pemerolehan ini selaras dengan aspirasi kami untuk membangunkan projek yang membawa nilai tulen kepada masyarakat serta mewujudkan destinasi yang dipercayai untuk jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.
Jalan Anson dikenali sebagai kawasan berprofil tinggi dengan akses lengkap kepada hab komersial, perubatan dan budaya.
Lokasinya yang matang turut menyediakan asas kukuh kepada Majestic Gen untuk merancang pembangunan bertingkat tinggi pada masa depan, selaras perubahan landskap bandar.
Menurut Pengarah Eksekutif Majestic Gen, Ta Wee Dher, tanah di Jalan Anson mengukuhkan lagi asas pertumbuhan syarikat di Pulau Pinang.
“Keunikan lokasinya memberikan potensi besar untuk perkembangan masa depan. Pembelian ini membolehkan kami merancang pembangunan yang bukan sahaja moden dan mampan, tetapi juga mengekalkan keaslian George Town,” katanya.
Kedudukan tanah tersebut yang berdekatan institusi pendidikan, mercu budaya serta kawasan bersejarah menjadikannya antara aset paling bernilai untuk pembangunan baharu di kawasan pusat bandar.
Pemerolehan terbaharu itu menyusul selepas kejayaan pelancaran Majestic Aman pada Julai lalu menerusi projek kediaman dan komersial pegangan bebas di Taman Sungai Dua Utama.
Pembangunan seluas 2.29 hektar itu merangkumi 73 unit rumah teres dua tingkat dan 23 unit pejabat kedai serta mempunyai Nilai Pembangunan Kasar (GDV) RM66.8 juta.
Dengan pembelian tanah di Jalan Anson, Majestic Gen kini bersedia memasuki fasa baharu pembangunan bertingkat tinggi di Pulau Pinang.
Fokus kumpulan tertumpu kepada projek mercu tanda yang menggabungkan reka bentuk kontemporari, keselesaan bandar dan nilai komuniti mampan. – UTUSAN










