TUMPAT: Dua tekong darat termasuk seorang wanita dicekup selepas kenderaan yang dipandu mereka yang membawa 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar ditahan di Kampung Chat, di sini pada minggu lalu sekali gus kempunan untuk mendapat upah RM1,000.
Tangkapan dijalankan kira-kira pukul 5.30 pagi, Rabu lalu semasa Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) menjalankan rondaan di sekitar kawasan Pengkalan Kubor di sini.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, pihaknya mengesan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Rush diparkir di tepi jalan kampung tersebut.
Katanya, pemeriksaan badan terhadap pemandu lelaki berusia 53 tahun dan wanita 49 tahun itu tidak menemukan sebarangan yang menyalahi undang-undang.
“Pemeriksaan lanjut ke atas Perodua Alza dipandu suspek lelaki membawa kepada penemuan tujuh PATI warga Myanmar termasuk dua wanita yang gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Di dalam SUV Toyota Rush dipandu pemandu wanita itu pula menemukan seramai tujuh PATI warga Myanmar termasuk dua wanita,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ahmad Radzi berkata, hasil soal siasat awal mendapati, kedua-dua tekong darat itu mengaku mengambil upah sebanyak RM500 bagi setiap kenderaan untuk membawa PATI.
Katanya, MPV dan SUV yang digunakan untuk mengangkut kesemua PATI itu dipercayai disewa dari sebuah syarikat di Pandan Indah, Selangor dengan kadar sewaan sebanyak RM500 seminggu bagi setiap kenderaan.
“Siasatan lanjut mendapati, kesemua PATI diambil di kawasan Kampung Pulau Besar dekat Tumpat dan mereka disyaki dihantar ke Johor.
“PATI tersebut dipercayai memasuki negara ini secara haram dari Thailand melalui Sungai Golok yang bersambung dengan Sungai Kelantan di Kampung Pulau Besar,” ujarnya
Ahmad Radzi berkata, kedua-dua tekong darat dan kesemua PATI dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah Tumpat untuk siasatan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963. – UTUSAN










