PETALING JAYA: Malaysia Aviation Group (MAG) menyasarkan lebih RM24 bilion dalam pendapatan kasar di bawah Pelan Perniagaan Jangka Panjang 3.0 (LTBP3.0), menandakan peralihan daripada fasa pemulihan kepada pengembangan dalam fasa pertumbuhan seterusnya kumpulan itu.
Pelan lima tahun dari 2026 hingga 2030 ini diumumkan sebagai kesinambungan daripada LTBP2.0, yang memberi fokus kepada penstabilan, pengurangan hutang dan memulihkan keuntungan.
Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Kapten Izham Ismail berkata, LTBP3.0 mencerminkan keyakinan MAG untuk berkembang secara lestari sambil mengukuhkan perniagaan penerbangan dan bukan penerbangan.
“LTBP3.0 mewakili fasa pertumbuhan seterusnya, bergerak melepasi pemulihan untuk berkembang secara lestari sambil memperkukuh perniagaan teras dan perniagaan berkaitan kami,” katanya.
Beliau berkata, fokus utama pelan ini ialah strategi rangkaian dan armada yang menyasarkan pertumbuhan seterusnya, membolehkan syarikat berkhidmat kepada pelanggan dengan capaian lebih luas, efisiensi lebih tinggi dan pengalaman pelanggan yang dipertingkatkan.
“Ia adalah aspirasi berani, mungkin dianggap sebagai impian jauh bagi sesetengah pihak, tetapi kami komited sepenuhnya untuk merealisasikannya dengan membina ke atas apa yang telah dicapai, mempercepatkan di mana kami paling kuat dan melabur secara strategik untuk memastikan nilai lestari jangka panjang bagi pelanggan, rakan kongsi dan negara,” tambahnya.
Izham berkata, LTBP2.0 berjaya menghasilkan pemulihan ketara, mengurangkan liabiliti lebih RM15 bilion, menghapuskan RM10 bilion hutang lama dan mengembalikan kumpulan kepada keuntungan operasi selama tiga tahun berturut-turut, dengan dua tahun berturut-turut mencatat keuntungan bersih positif.
Prestasi operasi dan pengalaman pelanggan turut meningkat, dengan Indeks Kepuasan Pelanggan (CSI) kumpulan mencapai 84 peratus setakat tahun ini berbanding 80 peratus pada 2024.
Pemodenan armada diteruskan semasa fasa pemulihan, dengan MAG menerima 22 pesawat generasi baharu untuk meningkatkan kecekapan bahan api dan kebolehpercayaan operasi.
Kumpulan itu berkata, aktiviti bukan penerbangan menyumbang 18 peratus daripada jumlah pendapatan pada 2024, menekankan kemajuan dalam mempelbagaikan sumber pendapatan di luar operasi penumpang.
Katanya, inisiatif digital turut menyokong peningkatan prestasi, termasuk pelaksanaan sistem middleware dalaman dan chatbot, kecerdasan buatan (AI) yang menaikkan kepuasan pelanggan pusat hubungan kepada 91 peratus setakat tahun ini daripada 80 peratus tahun lalu.
Di bawah LTBP3.0, MAG juga menyasarkan pertumbuhan lebih 60 peratus dalam pendapatan pihak ketiga bagi segmen perkhidmatan penerbangannya, merangkumi bidang seperti penyelenggaraan, kejuruteraan, kargo dan pengendalian darat.
Di peringkat syarikat penerbangan, Malaysia Airlines mensasarkan untuk memasuki senarai kedudukan 10 terbaik dalam Syarikat Penerbangan Global Skytrax menjelang 2030, naik daripada kedudukan semasa di tempat ke-27.
Izham berkata, pelaksanaan LTBP3.0 akan berpandukan empat teras, bermula dengan pengukuhan Malaysia Airlines sebagai penerbangan premium Asia-Pasifik dengan tawaran perkhidmatan jelas dan strategi rangkaian tersusun.
“Teras kedua menumpukan kepada pengembangan keterhubungan global melalui kerjasama, membolehkan pelanggan mengakses lebih 1,100 destinasi di seluruh dunia.
“Kepimpinan operasi menjadi teras ketiga, dengan penekanan pada disiplin kos, pengoptimuman armada, keselamatan dan kebolehpercayaan untuk menyokong margin lestari.
“Manakala, teras keempat pula menumpukan kepada pembangunan perniagaan bukan penerbangan yang kukuh dan menguntungkan bagi mengurangkan pendedahan kepada kitaran penerbangan dalam jangka panjang,” katanya.
Izham berkata, pelan baharu ini meletakkan kumpulan itu untuk bersaing dalam persekitaran penerbangan global yang semakin kompleks, dipengaruhi oleh tekanan kos, tuntutan kelestarian dan perubahan jangkaan pelanggan. – UTUSAN










