Luckin Coffee buka stor flagship di SkyAvenue Resort World Genting - Utusan Malaysia

Luckin Coffee buka stor flagship di SkyAvenue Resort World Genting

JEFF Lim (kiri) bersama Naib Presiden Jabatan Pengurusan Penyewaan, SkyAvenue, Resorts World Genting, Melissa Wong (tiga dari kiri) semasa perasmian pembukaan cawangan utama pertama di SkyAvenue, Resorts World Genting.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Luckin Coffee Malaysia memperkukuh kedudukannya dalam pasaran kopi runcit tempatan melalui strategi pengembangan agresif yang merangkumi pembukaan flagship pertama di SkyAvenue, Resorts World Genting.

Jenama kopi yang meningkat naik itu juga melancarkan Luckin Coffee Mobile Truck bagi meningkatkan capaian pengguna di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Jeff Lim berkata, langkah itu bertujuan memperluas titik sentuhan jenama sekali gus mengukuhkan ekosistem runcit yang menekankan kemudahan, keterjangkauan dan pengalaman imersif.

“Matlamat kami adalah membina ekosistem bersepadu antara cawangan fizikal dan titik sentuhan mudah alih yang menyediakan nilai serta kualiti tinggi kepada pelanggan di mana sahaja mereka berada,” katanya.

Beliau berkata, cawangan utama seluas 2,084 kaki persegi di SkyAvenue itu direka berinspirasikan konsep taman tema, selari dengan suasana hiburan destinasi pelancongan berkenaan.

Katanya, dengan tiga lokasi kini beroperasi di Genting Highlands termasuk cawangan konsep ambil segera di Highlands Hotel serta Antara Genting Relaxed Store, Luckin Coffee terus mengukuhkan kehadirannya di kawasan pelancongan utama itu.

“Inisiatif ini dijangka meningkatkan keterlihatan jenama, menarik pelanggan baharu dan merangsang percubaan produk, sekali gus mengukuhkan kedudukan syarikat dalam pasaran kopi runcit yang semakin berkembang.

“Usaha kolektif ini membolehkan kami menjangkau kumpulan pelanggan lebih luas, membina kesetiaan jenama dan meningkatkan nilai jenama melalui pengalaman runcit yang menyeluruh serta imersif,” katanya.

Tambahnya, antara tarikan utama termasuk bar kopi Merry-Go-Round, zon tempat duduk roller coaster, ruang interaktif “Charge Your Luck”, tempat duduk ikonik “Luckin” bersaiz besar, serta dinding IP maskot Lucky.

“Sebagai pelengkap kepada rangkaian fizikal, Luckin Coffee Mobile Truck turut diperkenalkan untuk membawa produk secara lebih dekat kepada pengguna di festival, kawasan kejiranan, universiti, hab gaya hidup serta acara komuniti,” katanya.

Luckin Coffee Malaysia berada pada landasan untuk menyempurnakan fasa pengembangan pesat menjelang akhir 2025 dengan fokus kepada format cawangan berprestasi tinggi serta peningkatan aksesibiliti di seluruh negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN