Laporan penilaian Aerotrain KLIA dijangka siap Januari 2026

Laporan penilaian teknikal bebas Aerotrain KLIA dijangka siap pertengahan Januari 2026

AEROTRAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dijangka mengemukakan laporan penilai teknikal bebas yang menyemak sistem Aerotrain Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjelang pertengahan Januari 2026.

MAHB berkata, pihaknya menyiapkan dua peringkat pertama Pelan Tindakan Menyeluruh (CAP) bagi menangani kebimbangan berkaitan kebolehpercayaan sistem Aerotrain Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Katanya, CAP yang bermula pada 15 November lalu diterajui oleh pengendali lapangan terbang dengan penglibatan penuh kontraktor Alstom serta usaha sama IJMC-Pestech, dan disokong oleh perunding projek serta penilai teknikal bebas.

“Kerja-kerja pengesahan dan pembaikan kini sedang dijalankan bagi memastikan integriti sistem serta keselamatan operasi.

“Operasi percubaan Peringkat 3 akan bermula seperti yang dirancang dan diteruskan sehingga penghujung Disember, di mana sistem akan diuji di bawah pelbagai senario operasi sepanjang tempoh tersebut,” katanya. 

Menurutnya, ujian berkenaan merupakan langkah kritikal bagi mengesahkan keberkesanan langkah pembetulan sebelum keyakinan operasi sepenuhnya dipulihkan.

Sementara itu, dua penilai bebas sedang meneliti aspek reka bentuk, pemasangan, operasi dan penyelenggaraan sistem pengangkutan penumpang automatik tanpa pemandu tersebut.

“Hasil CAP dan kemas kini rasmi mengenai sistem tersebut akan direkodkan dalam laporan gabungan yang dijangka siap menjelang pertengahan Januari 2026. 

“Aerotrain kekal beroperasi seperti biasa pada waktu siang sementara proses pengesahan diteruskan.  

“Bagi memastikan kelancaran pergerakan penumpang, perkhidmatan bas ulang-alik sepenuhnya akan disediakan pada waktu luar puncak setiap malam dari jam 9 malam hingga 7 pagi,” katanya.

Tambahnya, CAP diterajui oleh MAHB dengan penglibatan penuh kontraktor Alstom dan usaha sama IJMC-PESTECH sebagai perunding projek serta penilai teknikal bebas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN