KSK perluas Program Bank Makanan tangani kelaparan bandar

KSK perluas Program Bank Makanan tangani kelaparan bandar

KSK turut melaksanakan pengagihan makanan simpanan kepada komuniti Orang Asli, memastikan mereka menerima bekalan asas seperti beras, minyak masak dan makanan dalam tin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kechara Soup Kitchen (KSK) melaksanakan Program Bank Makanan sebagai inisiatif menangani isu kelaparan bandar dan memastikan akses makanan kepada golongan rentan, termasuk gelandangan, keluarga berpendapatan rendah dan komuniti Orang Asli.

Pengarah Operasi dan Pemasaran KSK, Justin Cheah berkata, program tersebut mengumpulkan lebihan makanan yang masih selamat dimakan, barangan keperluan asas serta sumbangan makanan kering untuk diagihkan secara berkala kepada mereka yang memerlukan.

“Usaha ini turut dilaksanakan melalui rangkaian kerjasama strategik bersama rakan runcit, penyumbang korporat dan sukarelawan.

“Inisiatif ini bukan sahaja membantu mengurangkan pembaziran makanan, malah memastikan penerima mendapat sokongan berterusan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, program berkenaan memberi tumpuan kepada kumpulan sasar yang terkesan oleh ketidaktentuan ekonomi, termasuk keluarga berpendapatan rendah, warga emas yang bergantung kepada bantuan serta rumah kebajikan.

Jelasnya, KSK menyedari peningkatan kos sara hidup, kekangan pekerjaan dan kelemahan jaringan sokongan sosial menyebabkan semakin ramai berdepan risiko kekurangan makanan.

“Justeru, Bank Makanan berfungsi sebagai inisiatif bantuan bagi membantu mereka menampung keperluan asas sementara membina semula kestabilan hidup,” ujarnya.

Sejak ditubuhkan pada 2008, KSK telah menjalankan pelbagai program sokongan komuniti termasuk pengagihan makanan jalanan, bantuan kecemasan, pembangunan komuniti serta inisiatif pengurangan pembaziran makanan.

KSK juga mengendalikan operasi dapur komuniti dan pusat sokongan yang berfungsi sebagai lokasi bantuan untuk individu tanpa tempat tinggal serta keluarga yang memerlukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN