PETALING JAYA: Sesi pemukiman yang menghimpunkan menteri-menteri luar ASEAN di Cebu, Filipina minggu hadapan dijangka memfokuskan kepada krisis politik Myanmar yang kini memasuki tahun kelima.
Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin berkata, Malaysia kekal komited dalam usaha mencari penyelesaian aman dan berkekalan terhadap krisis berkenaan.
Katanya, ia dapat dilihat menerusi rundingan dan libat urus meluas yang dilakukan ketika Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun lalu.
“Isu Myanmar akan terus menjadi agenda penting. Dalam konteks ini, kami berbesar hati bahawa Filipina selaku Pengerusi ASEAN akan meneruskan usaha Malaysia dalam mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan Myanmar.
“Ini jelas melalui mesyuarat libat urus pihak berkepentingan yang dianjurkan oleh Filipina baru-baru ini, susulan proses dimulakan Malaysia,” katanya semasa taklimat media menjelang sesi permukiman berkenaan.
Filipina mengambil alih Kepengerusian ASEAN 2026 dengan tema Navigating Our Future, Together.
Sesi permukiman yang akan berlangsung pada 28 hingga 29 Januari ini bakal menjadi mesyuarat peringkat menteri pertama dalam kalender tahunan ASEAN.
Ia akan didahului oleh Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN (SOM) pada 27 Januari serta rundingan tidak rasmi mengenai pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) dan Rundingan Tidak Rasmi Lanjutan mengenai 5PC pada 28 Januari ini.
Amran berkata, Malaysia akan terus menyokong Filipina sepanjang 2026 menerusi mekanisme Troika yang melibatkan negara itu sebagai Pengerusi semasa, Singapura selaku Pengerusi akan datang dan Malaysia sebagai Pengerusi terdahulu.
Mengimbas kembali usaha Malaysia pada 2025, beliau berkata, negara ini melaksanakan proses libat urus intensif dan berstruktur bagi membuka saluran inklusif dalam kalangan semua pihak berkepentingan di Myanmar.
Katanya, sebanyak 200 sesi libat urus telah dijalankan termasuk empat mesyuarat bersama pihak berkepentingan di Malaysia yang melibatkan kira-kira 25 entiti.
“Libat urus peringkat tinggi itu termasuk pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Pengerusi Suruhanjaya Keselamatan dan Keamanan Negara (SSPC) Myanmar merangkap Pemangku Presiden, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing,
“Turut diadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG), Mahn Win Khaing Than dan pemimpin ASEAN lain bagi mencari penyelesaian isu Myanmar,” katanya.
Menurut Amran, Filipina telah membina momentum awal tahun ini apabila Setiausaha Luarnya, Theresa P Lazaro melawat Naypyidaw dan mengadakan satu pusingan rundingan pihak berkepentingan.
“Momentum awal ini dapat dicapai kerana asas yang kita letakkan tahun lalu, malah proses rundingan ini bermula ketika Indonesia mempengerusikan ASEAN dan semasa Kepengerusian Malaysia, kami mempergiatkan usaha berkenaan,” katanya.
Katanya lagi, pilihan raya umum tiga fasa Myanmar yang dijadualkan berlangsung antara Disember 2025 hingga Januari 2026 dijangka menjadi isu utama perbincangan di Cebu.
“Berdasarkan perkembangan terkini di Myanmar, menteri dijangka membincangkan langkah seterusnya bagi ASEAN termasuk memastikan semua pihak berkepentingan terus terbabit dalam usaha ke arah penyelesaian secara aman.
“Krisis di Myanmar kekal menjadi tumpuan utama perbincangan ASEAN sejak rampasan kuasa tentera pada Februari 2021 yang menggulingkan kerajaan dipilih secara demokratik dan mencetuskan pergolakan serta keganasan,” katanya. – UTUSAN










