PETALING JAYA: Kos pemilikan kenderaan elektrik (EV) kini lebih mampu milik dan menjimatkan kos penyelenggaraan berbanding kereta petrol, sekali gus membuka peluang lebih ramai rakyat Malaysia memilikinya.
Presiden Persatuan Kenderaan Elektrik Malaysia (EVAM), Datuk Dennis Chuah berkata, harga EV kini lebih mampu milik berbanding tanggapan lama bahawa ia kenderaan mewah.
“Dari segi penyelenggaraan, EV jauh lebih rendah kerana tidak menggunakan enjin petrol. Kebanyakan EV hanya perlu diservis setahun sekali.
“Sebagai contoh, saya memandu Tesla hampir tiga tahun tanpa perlu ke pusat servis kerana sebarang isu boleh dikemas kini melalui perisian,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, bagi kos perjalanan, kecekapan EV sehingga 90 peratus bermakna hampir keseluruhan tenaga bateri digunakan untuk pemanduan.
“Jika dicas di rumah, kos purata hanya sekitar 10 sen per kilometer (km).
“Bagi pengecas awam, kos meningkat kepada 15 hingga 20 sen per km, tetapi masih jauh lebih rendah berbanding petrol konvensional yang boleh mencecah 30 hingga 50 sen per km,” jelasnya.
Beliau berkata, setiap hentian rehat di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) kini dilengkapi stesen pengecas dengan hampir 4,600 pengecas tersedia.
“Sebanyak 20 hingga 30 peratus adalah pengecas pantas arus terus (DC), manakala selebihnya pengecas arus ulang-alik (AC) yang mengambil masa enam hingga tujuh jam.
“Selain itu, terdapat juga perkhidmatan pengecas mudah alih untuk kecemasan, memberi jarak tambahan 100km hingga 150km.
“Kerajaan turut memainkan peranan penting. Setiap pengguna yang beralih kepada EV membantu mengurangkan beban subsidi petrol, sejajar dengan matlamat kelestarian negara,” katanya.
Sementara itu, Pakar Kuasa Elektrik dan Sistem Pemacu dari Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Ishak Aris berkata, risiko pemilikan EV tinggi sebelum ini disebabkan semua kenderaan diimport, menyebabkan harga mahal serta kos penyelenggaraan yang tinggi.
Menurutnya, kehadiran dua pengeluar utama EV tempatan iaitu Proton dan Perodua kini membantu menstabilkan harga komponen, meningkatkan kebolehpercayaan sistem dan memberi keyakinan kepada pengguna.
“Dulu harga EV tinggi kerana import sepenuhnya, tetapi sekarang model tempatan seperti Proton dijual pada harga sekitar RM60,000 hingga RM70,000, lebih mampu milik,” katanya.
Beliau berkata, persaingan antara pengeluar tempatan juga mendorong peningkatan kualiti, penetapan harga yang lebih kompetitif, dan servis yang lebih baik.
“Ini secara tidak langsung meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap kenderaan elektrik.
“Dari segi infrastruktur pula stesen pengecas EV semakin banyak tersedia di kawasan awam termasuk universiti dan pejabat. Sesetengah model EV turut disertakan dengan pengecas rumah, membolehkan pengguna mengecas di kediaman mereka,” katanya. – UTUSAN










