Isu keselamatan dan kebajikan penjagaan kanak-kanak

Keresahan nasional: Isu keselamatan dan kebajikan penjagaan kanak-kanak

KIDDOCARE terus memperkasa kualiti penjagaan kanak-kanak melalui aktiviti pembelajaran yang selamat, terancang dan berfokuskan perkembangan awal.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

OLEH: Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Kiddocare, Nadira Yusoff. 

LANDSKAP penjagaan kanak-kanak di Malaysia sejak kebelakangan ini semakin menjadi perhatian umum apabila tercetus keresahan nasional yang mencerminkan kebimbangan masyarakat terhadap aspek keselamatan dan kebajikan kanak-kanak.

Keresahan itu didorong oleh beberapa insiden membimbangkan, termasuk kewujudan pusat jagaan tidak berdaftar yang beroperasi di unit kediaman, penjaga persendirian tanpa latihan formal, serta laporan tular mengenai kanak-kanak yang menjadi tidak responsif ketika berada di bawah jagaan individu atau pihak tidak disahkan.

Salah satu contoh yang mencuri tumpuan melibatkan pasangan yang mengupah seorang ‘travel nanny’ untuk menemani mereka semasa bercuti. 

Pengalaman penjaga tersebut kemudiannya dikongsikan di media sosial dan menerima sokongan meluas daripada orang ramai, yang menegaskan bahawa tugasan diberikan telah mengaburkan garis pemisah antara kerja penjagaan kanak-kanak dan tugas pembantu rumah.

Walaupun berbeza dari segi bentuk dan konteks, kes-kes ini secara kolektif mendedahkan satu isu sistemik yang lebih mendalam dalam landskap penjagaan kanak-kanak negara.

 

DALAM suasana kos sara hidup yang terus meningkat, ramai keluarga terpaksa bergantung kepada pilihan penjagaan tidak berdaftar bukan kerana pilihan, sebaliknya atas keperluan.

Hakikatnya, keluarga pada hari ini terpaksa membuat keputusan berkaitan penjagaan anak dalam persekitaran yang kekurangan piawaian jelas, panduan konsisten serta akses yang meluas kepada penjaga terlatih. Situasi ini bukan berpunca daripada niat tidak baik mana-mana pihak.

Sebahagian besar penjaga tidak formal menjalankan tanggungjawab mereka sebaik mungkin, namun keadaan ini menyerlahkan jurang struktur dalam cara Malaysia mentakrifkan, menyokong dan mengawal selia kerja penjagaan kanak-kanak secara menyeluruh.

Justeru, kekeliruan ini sebahagian besarnya berpunca daripada percampuran peranan antara pengasuh dan pembantu rumah yang telah lama berakar. 

Pembantu rumah lazimnya bertanggungjawab terhadap kerja-kerja domestik, manakala penjagaan kanak-kanak pula memerlukan kemahiran khusus.

Ia termasuk keupayaan tindak balas kecemasan, pematuhan protokol keselamatan dan kebersihan, serta kefahaman terhadap perkembangan bayi dan kanak-kanak kecil.

Apabila jangkaan ini digabungkan tanpa garis pemisah yang jelas, risiko kepada kanak-kanak dan penjaga boleh meningkat tanpa disedari.

Dalam pada itu, faktor kemampuan kewangan turut merumitkan keadaan. Dalam suasana kos sara hidup yang terus meningkat, ramai keluarga terpaksa bergantung kepada pilihan penjagaan tidak berdaftar bukan kerana pilihan, sebaliknya atas keperluan. 

Ibu bapa tidak membuat keputusan yang salah kerana telah memilih daripada pilihan yang tersedia dan mampu diakses.

Sehubungan itu, sekiranya Malaysia benar-benar mahu mengurangkan insiden penjagaan tidak selamat, penyelesaiannya tidak boleh terhad kepada gesaan agar keluarga lebih berhati-hati, namun ekosistem penjagaan itu sendiri perlu berevolusi secara menyeluruh.

Dalam konteks ini, Malaysia sebenarnya telah mula melangkah ke arah yang betul dengan pengumuman Rangka Kerja Strategik dan Pelan Tindakan Ekonomi Penjagaan 2026–2030.

Ia mencerminkan pengiktirafan nasional bahawa kerja penjagaan merupakan pekerjaan berkemahiran yang memerlukan sokongan berstruktur, kawal selia yang jelas serta laluan kerjaya yang mampan.

Namun begitu, arah dasar semata-mata masih belum mencukupi kerana perubahan sebenar memerlukan kerjasama merentas industri, peningkatan kesedaran awam serta pelan praktikal untuk meningkatkan kemahiran penjaga yang selama ini menjadi tulang belakang kepada sistem penjagaan kanak-kanak negara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN