Jualan sektor pembuatan cecah RM171.7 bilion pada Oktober - Utusan Malaysia

Jualan sektor pembuatan cecah RM171.7 bilion pada Oktober

SEKTOR pembuatan menjadi antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor pembuatan mencatatkan jualan RM171.7 bilion pada Oktober 2025, berkembang 6.3 peratus berbanding 4.3 peratus pada September 2025, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan nilai jualan dalam sektor pembuatan disumbangkan terutamanya oleh subsektor peralatan elektrik dan elektronik, tumbuh 11.5 peratus pada Oktober 2025 berbanding 6.4 peratus pada bulan sebelum.

“Pertumbuhan ini turut disokong oleh subsektor makanan, minuman dan tembakau serta produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam, yang masing-masing meningkat sebanyak 11.6 peratus (September 2025: 9.1 peratus) dan 4.6 peratus (September 2025: 2.7 peratus).

“Perbandingan bagi bulan ke bulan, pertumbuhan nilai jualan meningkat 1.4 peratus, dari RM169.3 bilion yang direkodkan September 2025,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pertumbuhan nilai jualan bagi industri berorientasikan eksport yang mewakili 71.9 peratus daripada jumlah jualan, berkembang 6.9 peratus pada Oktober 2025 berbanding 3.8 peratus pada September 2025.

“Prestasi ini terutamanya dipengaruhi oleh peningkatan dalam pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal sebanyak 12.1 peratus berbanding 6.1 peratus pada bulan sebelum.

“Sementara itu, pembuatan minyak & lemak daripada sayuran & haiwan tumbuh 13.4 peratus (7.8 peratus pada September) dan pembuatan kelengkapan elektrik meningkat sebanyak 8.9 peratus (10.1 peratus pada September).

“Perbandingan bulan ke bulan, pertumbuhan industri berorientasikan eksport meningkat 0.9 peratus berbanding 0.7 peratus pada September 2025,” ujarnya.

Mohd. Uzir berkata, industri berorientasikan domestik pula meningkat 4.8 peratus pada Oktober 2025, selepas mencatatkan 5.7 peratus pada sebulan lalu.

“Prestasi ini disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam pembuatan produk pemprosesan makanan dengan 8.5 peratus pada Oktober 2025 berbanding 10.5 peratus pada September 2025.

“Ini juga termasuk industri pembuatan logam asas (6.6 peratus) dan pembuatan produk logam kecuali mesin dan kelengkapan (6.3 peratus). Bagaimanapun, industri berorientasikan domestik meningkat 2.7 peratus berbanding bulan sebelumnya,” jelasnya.

Mengulas mengenai bilangan pekerja, beliau berkata, sejumlah 2.4 juta orang pekerja direkodkan dalam sektor ini pada Oktober 2025, bertambah sebanyak 1.1 peratus daripada 1.0 peratus pada bulan sebelumnya.

“Pertambahan ini dipacu terutamanya oleh subsektor makanan, minuman dan tembakau (2.0 peratus), peralatan elektrik dan elektronik (1.5 peratus) serta produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (1.1 peratus).

“Berasaskan bulan ke bulan, bilangan pekerja dalam sektor ini kekal meningkat pada 0.5 peratus,” katanya.

Seiring dengan itu, beliau berkata, gaji dan upah yang dibayar dalam sektor pembuatan juga mencatatkan pengembangan 2.4 peratus daripada 2.0 peratus pada bulan sebelum, berjumlah RM8.5 bilion pada Oktober 2025.

“Tambahan pula, gaji dan upah yang dibayar meningkat 1.0 peratus berbanding RM8.4 bilion yang direkodkan pada bulan sebelumnya.

“Selanjutnya, nilai jualan bagi setiap pekerja mencatatkan RM70,760 (5.2 peratus), manakala purata gaji dan upah bagi setiap pekerja adalah RM3,497, meningkat 1.3 peratus tahun ke tahun,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN