Jualan Mega 11.11 tiada daya tarikan, perubahan ketara pengguna 

Jualan Mega 11.11 tiada daya tarikan, perubahan ketara pengguna 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jualan mega 11.11 yang berlangsung baru-baru ini seolah-olah semakin hilang daya tarikannya apabila dengan 68 peratus daripada responden tidak membuat sebarang pembelian sepanjang tempoh promosi itu, menurut kajian terbaharu Central Force International (CFI).

Kajian bertajuk Impak Sebenar Jualan 11.11 di Malaysia itu menunjukkan perubahan ketara dalam tingkah laku pengguna, di mana promosi besar sahaja tidak lagi mencukupi untuk menarik minat pembeli.

Sebaliknya, pengguna Malaysia dilihat semakin berhati-hati dalam perbelanjaan dengan mengutamakan pembelian barangan keperluan selepas membuat perbandingan harga yang lebih murah di beberapa platform jualan dalam talian.

Daripada golongan yang tidak membeli itu, 55.7 peratus berkata. tawaran yang disediakan tidak relevan dengan keperluan segera mereka, manakala kira-kira satu pertiga tidak mengetahui bahawa jualan sedang berlangsung.

CFI menegaskan kajian itu bukan sekadar kegagalan pemasaran, tetapi isu asas berkaitan pasaran yang semakin tepu dengan promosi relevan kepada pengguna.

Walaupun penyertaan dalam jualan mega semakin menurun, laporan itu menegaskan bahawa penglibatan pengguna dalam e-dagang secara keseluruhan masih kukuh.

“Pembelian dalam talian kini menjadi rutin sepanjang tahun, namun peningkatan kos sara hidup dan tekanan terhadap bajet isi rumah memaksa pengguna lebih selektif, hanya berbelanja apabila nilai yang ditawarkan benar-benar berbaloi.

“Bagi mereka yang membeli, kebanyakannya melibatkan barang keperluan atau produk kos rendah dengan 82.5 peratus mengehadkan perbelanjaan mereka di bawah RM500.

“Ini menunjukkan pengguna kini lebih strategik dan memilih untuk membeli apabila tawaran itu memberikan nilai praktikal yang jelas, berbanding melakukan pembelian secara impulsif,” katanya laporan kajian itu,

Dari segi platform, Shopee kekal sebagai platform paling popular dengan 79.7 peratus penggunaan manakala TikTok Shop semakin meningkat dengan 65.8 peratus pengguna.

“Hampir separuh daripada pembeli menggunakan lebih daripada satu platform untuk membandingkan tawaran sebelum membuat keputusan pembelian.

CFI menekankan,  bagi perniagaan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), strategi promosi perlu menumpukan kepada tawaran yang relevan, keperluan harian dan nilai praktikal yang jelas.

“Perniagaan juga disarankan menyediakan pengalaman belian yang konsisten merentas platform untuk memudahkan pengguna membuat perbandingan dan keputusan pembelian,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Central Force International, See Toh Wai Yu berkata, pengguna Malaysia hari ini tidak lagi membeli semata-mata kerana promosi atau diskaun.

“Mereka membeli apabila tawaran itu masuk akal dan memberikan nilai yang jelas,” katanya.

Kajian CFI ini memberi panduan kepada perniagaan untuk merancang strategi pemasaran 2026 dengan fokus pada keperluan harian, tawaran yang relevan, dan pengalaman belian yang menyeluruh bagi menarik pengguna yang semakin bijak membuat pilihan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN