IJM Land labur RM25 juta buka Village Grocer di Seremban 2

IJM Land labur RM25 juta buka Village Grocer di Seremban 2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: IJM Land bakal membawakan pasar raya premium, Village Grocer di Seremban 2, Negeri Sembilan pada suku keempat 2027 menerusi pelaburan bernilai RM25 juta.

Pasar raya itu dijangka menambah baik rutin membeli belah harian dengan kemudahan yang lebih selesa dan moden untuk lebih 62,000 penduduk.

Ketua Pegawai Operasi IJM Land, Datuk Chai Kian Soon berkata, kemasukan Village Grocer ke Seremban 2 merupakan pencapaian penting dalam sektor runcit serta gambaran jelas tentang sejauh mana perbandaran ini berkembang dan hala tuju pembangunannya. 

“Sejak awal, kami berhasrat membina sebuah perbandaran di mana keluarga dapat hidup dengan selesa, perniagaan dapat berkembang, dan komuniti dapat maju bersama. 

“Kehadiran Village Grocer mengukuhkan lagi hasrat tersebut dengan meningkatkan kemudahan harian, memperkayakan struktur sosial dan komersial Seremban 2 serta menetapkan penanda aras baharu bagi gaya hidup moden. 

“Pembangunan ini membawa tenaga dan peluang baharu, memperkukuh kedudukan Seremban 2 sebagai destinasi pilihan di Negeri Sembilan dan contoh perbandaran moden untuk wilayah ini,” katanya dalam kenyataan. 

Majlis pecah tanah yang diadakan baru-baru ini menandakan langkah pertama pembangunan di kawasan seluas 0.76 hektar dengan 26,240 kaki persegi ruang membeli-belah yang direka khas untuk keselesaan seisi keluarga. 

Dilengkapi 100 petak parkir, projek ini mengukuhkan momentum Seremban 2 sebagai perbandaran yang semakin matang, lengkap dan mudah diakses. 

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Kumpulan TFP Retail Sdn. Bhd., Ivan Tan berkata, kehadiran Village Grocer di Seremban 2 sangat bermakna kerana komuniti ini menunjukkan tenaga dan perkembangan yang selari dengan aspirasi syarikat.

“Kami komited untuk menawarkan hasil yang segar dan pengalaman membeli-belah yang bukan sahaja mudah, tetapi juga memberi ruang untuk pelanggan menemui sesuatu yang baharu. 

“Dengan pembukaan cawangan ini, kami berpeluang menjadi sebahagian daripada rutin harian keluarga di Seremban 2, sambil terus menyokong pengeluar tempatan dan mewujudkan destinasi runcit yang lebih hidup untuk perbandaran ini,” ujarnya. 

Village Grocer dijangka membawa perubahan besar kepada cara penduduk berbelanja sambil memberi nafas baharu kepada ekonomi setempat. 

Pembukaannya berpotensi menawarkan 90 hingga 150 pekerjaan dalam bidang operasi, bahagian khusus dan pengurusan, sekali gus menyediakan peluang pekerjaan kepada komuniti setempat dan bermakna kepada komuniti.

Selain itu, pembukaan cawangan baharu ini turut membuka laluan kerjasama lebih meluas bersama petani, pembekal serta perusahaan kecil dan sederhana. 

Rangkaian itu turut dijangka menghasilkan tambahan 150 hingga 300 peluang pekerjaan dalam sektor pertanian, logistik dan perkhidmatan. 

Inisiatif ini turut memperkukuh rantaian bekalan dan piawaian kualiti, di samping mendorong pembangunan produk baharu yang boleh memberi impak positif kepada ekonomi tempatan dan industri runcit negara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN