PETALING JAYA: Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka bergerak dalam julat RM3,800 hingga RM4,100 setan pada Januari 2026, disokong oleh keseimbangan bekalan dan permintaan.
Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) berkata, suku pertama lazimnya merupakan tempoh pengeluaran bermusim yang lebih rendah, manakala permintaan dijangka meningkat menjelang Tahun Baharu Cina dan Ramadan, sekali gus menyokong pengurangan stok.
“Namun, kelemahan limpahan daripada pasaran tenaga serta bekalan minyak biji (seed oil) yang berlebihan berkemungkinan mengehadkan sebarang pemulihan harga yang mampan, menyebabkan harga kekal bergerak dalam julat dagangan yang sempit,” katanya dalam kenyataan.
MPOC berkata, pengeluaran minyak sawit Malaysia merosot sebanyak 108,000 tan atau 5.3 peratus bulan ke bulan kepada 1.93 juta tan pada November.
Katanya, eksport juga lebih rendah daripada jangkaan, hanya mencecah 1.21 juta tan, terutamanya berikutan permintaan yang lebih lemah dari Afrika Sub-Sahara selepas rantau itu mengimport hampir 600,000 tan pada Oktober, sekali gus mengurangkan keperluan import pada November.
Tambahnyam permintaan dari EU27 turut menyusut selepas Kesatuan Eropah (EU) mengesahkan penangguhan lanjut selama 12 bulan pelaksanaan Peraturan Penyahhutanan EU (EUDR), yang menghapuskan keperluan pengimport membina stok berjaga-jaga.
“Gabungan pengeluaran yang masih kukuh dan eksport yang lemah telah menolak stok minyak sawit Malaysia meningkat kepada 2.83 juta tan pada November, paras tertinggi sejak Mac 2019.
“Menjelang 2026, eksport minyak sawit Malaysia diunjurkan meningkat kepada 16.2 juta tan, manakala pengeluaran dijangka menyusut kepada 19.7 juta tan apabila pokok kelapa sawit memasuki fasa rehat selepas prestasi yang kukuh pada 2025,” ujarnya.
Sementara itu, MPOC berkata, pengeluaran kacang soya global pula diunjurkan mendatar pada 424 juta tan pada 2026.
“Namun begitu, bekalan kacang soya yang mencukupi dijangka terus menekan sentimen pasaran berikutan ketersediaan biji minyak yang masih banyak.
“Eksport kacang soya Amerika Syarikat (AS) bagi musim pemasaran baharu merosot 46 peratus antara September hingga November berikutan ketiadaan permintaan dari China.
“Kebimbangan turut meningkat bahawa penuaian bekalan kacang soya baharu dari Amerika Selatan bermula Mac akan terus memberi tekanan kepada prospek eksport dan harga AS,” jelasnya. – UTUSAN










