KUALA LUMPUR: Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) terus memacu standard baharu dalam rangkaian edaran automotif negara dengan pembukaan Pusat Pameran 3S Flagship Proton EON Damansara, fasiliti paling canggih dalam rangkaiannya setakat ini.
Pusat pameran terletak di lokasi strategik di sepanjang Lebuh Raya Damansara-Puchong di tengah-tengah kawasan automotif utama Damansara.
Ketua Pegawai Eksekutif EON dan Ketua Pengedaran Automotif DRB-HICOM Berhad, Akbar Danial berkata, pembukaan pusat utama Damansara menandakan satu mercu penting dalam perjalanan transformasi runcit syarikat.
“Pusat utama ini menekankan komitmen kami terhadap inovasi, kelestarian dan evolusi mobiliti di Malaysia.
“Selama lebih 40 tahun, EON berdiri seiring dengan Proton. Hari ini, kami melangkah yakin ke bab seterusnya, didorong oleh usaha kami ke arah elektrifikasi dan peningkatan berterusan dalam pengalaman pelanggan,” katanya pada Majlis Pelancaran Pusat Pameran 3S Flagship Proton Damansara di sini, semalam.
Teras pusat utama baharu itu ialah bilik pameran untuk rangkaian Proton e.MAS, kenderaan elektrik (EV) pertama pengeluar automotif nasional itu.
Pusat pengalaman EV khusus ini membolehkan pelanggan memahami teknologi, reka bentuk dan inovasi di sebalik peralihan berani Proton ke arah mobiliti yang lebih bersih, pintar dan lestari.
Beliau berkata, bilik pameran baharu itu mentakrifkan semula runcit automotif dengan falsafah pelanggan diutamakan sebagai terasnya.
“Secara keseluruhan, konsep inovatif di pusat ini mencerminkan komitmen untuk menggabungkan kemudahan, keselesaan, dan teknologi sambil menetapkan penanda aras baru bagi kecemerlangan automotif di Malaysia.
“Ini selaras dengan usaha Malaysia ke arah karbon neutral dan penyelesaian pengangkutan lestari.
“Semasa kita menggalakkan mobiliti elektrik, kita juga menyokong tujuan yang lebih besar iaitu memberi sumbangan bermakna terhadap agenda hijau Malaysia,” ujarnya.
Bilik pameran seluas 11,464 kaki persegi ini direka untuk mempamerkan 11 kenderaan, termasuk lapan model Proton enjin pembakaran dalaman (ICE) dan tiga kenderaan elektrik Proton e.MAS.
Bersebelahan bilik pameran adalah kemudahan selepas jualan dan teknikal seluas 13,186 kaki persegi yang dilengkapi untuk menyelenggara seluruh rangkaian Proton, termasuk infrastruktur khusus untuk penyelenggaraan EV.
Ini merangkumi 16 petak servis, 11 petak lif untuk kenderaan Proton ICE, dua petak lif khusus Proton e.MAS EV, satu petak pelarasan roda, satu petak kalibrasi ADAS, bilik bateri EV khusus dan pengecas AC 22 kW untuk kegunaan bengkel serta pelanggan.
Semasa majlis tersebut, EON juga mengumumkan pemenang hadiah utama EON Dream Car Giveaway 2025, Nuurul Adibah Mansor yang dipilih daripada ribuan peserta layak yang menempah kenderaan melalui EON dan berjaya mendapatkan kelulusan pinjaman semasa tempoh kempen.
Dilancarkan sempena EON & Sahabat Autofest 2025 pada Ogos 2025, Dream Car Giveaway memberikan pelanggan peluang memenangi Kereta Impian dengan tajaan RM100,000 oleh EON untuk pembelian kenderaan seterusnya.
Sementara itu, bersempena dengan pembukaan besar itu, pelanggan boleh menikmati promosi eksklusif hujung tahun dengan dua inisiatif utama yang akan datang iaitu EON Online Digital Sale pada 12 Disember 2025.
Hanya untuk satu hari, pelanggan boleh menempah mana-mana model kenderaan di laman web EON dengan harga serendah RM12, bertujuan menjadikan pemilikan kereta lebih mudah dan mampu milik bagi rakyat Malaysia.
Selain itu, terdapat juga EON EV Showcase di Copa Padel Hood pada 13 Disember 2025 di mana orang awam dapat melihat model EV terkini secara dekat di pameran EV khas semasa acara Copa Padel Hood yang diadakan di Pop Padel Bamboo Hills, Kuala Lumpur. – UTUSAN










