PETALING JAYA: Eco World Development Group Berhad (EcoWorld) meningkatkan sasaran jualan tahunan kepada RM4 bilion bagi tahun kewangan 2026 berbanding RM3.5 bilion pada 2025, disokong beberapa projek baharu berskala besar yang sedang dibangunkan di seluruh negara.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld, Datuk Chang Khim Wah berkata, antara projek utama termasuk Eco Business Park VII (EBP VII) di Negeri Sembilan yang dibangunkan secara usaha sama dengan SD Guthrie Berhad (SDG) dan NS Corporation.
“Ia merupakan pembangunan industri bersepadu di atas tanah seluas 483.59 hektar dalam koridor ekonomi Malaysian Vision Valley 2.0 (MVV) dan merupakan projek pertama EcoWorld di Negeri Sembilan.
“Selain itu, terdapat juga Eco Business Park 8 (EBP 8), pembangunan usaha sama kedua kumpulan bersama SDG dan Permodalan Darul Ta’zim Sdn. Bhd., cabang pelaburan Kerajaan Negeri Johor, yang akan dibangunkan di atas tanah seluas 378.38 hektar di Kulai, Johor.
“Eco Radiance juga antaranya yang merupakan township baharu kami, merangkumi 352.07 hektar di Semenyih, terletak bersebelahan dengan Eco Forest dan hanya 10 kilometer (KM) dari Eco Majestic, projek utama kami di Lembah Klang Selatan,” katanya dalam kenyataan.
Dengan penambahan lebih daripada 2,000 ekar tanah industri melalui EBP VII dan EBP 8, EcoWorld berada pada kedudukan kukuh untuk meningkatkan penguasaan pasaran di Iskandar Malaysia dan MVV.
Beliau berkata, prestasi industri kumpulan yang konsisten selama lima tahun lepas hasil daripada pendekatan pemasaran strategik, rekod pelaksanaan terbukti, serta rangkaian luas yang telah dibina di seluruh ekosistem industri.
“Gabungan rangkaian produk yang luas dan boleh disesuaikan serta perkhidmatan sehenti khusus membolehkan kami memenuhi keperluan semua kategori pemain industri.
“Ia daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) hingga multinasional tempatan dan global, sama ada dalam sektor pembuatan tradisional atau berteknologi tinggi dan digital
“Sejajar dengan itu, respon terhadap pelancaran EBP VII pada November 2025, yang menawarkan kilang kluster dan semi-dee serta tanah industri kecil bersaiz satu hingga lima ekar, amat memberangsangkan.
“Kumpulan juga menerima jumlah pertanyaan yang tinggi dari pemain global untuk tanah industri bersaiz besar di bawah kedua-dua Eco Business Parks dan QUANTUM pillars yang menunjukkan prospek positif bagi kelestarian dan prestasi jualan industri kumpulan di masa depan,” ujarnya.
Sementara itu, Khim Wah berkata, pelancaran Eco Radiance membolehkan kumpulan itu membina kejayaan Eco Majestic dan Eco Forest yang matang.
“Sejak pelancarannya pada 2014, Eco Majestic telah menjadi hab komersial dan rekreasi sibuk, termasuk pembukaan Majestic Labs yang menawarkan pelbagai pilihan makanan, kecergasan, hiburan pendidikan dan rekreasi bagi memenuhi keperluan pelanggan berpendapatan tinggi.
“Eco Forest pula telah menjadi alamat kediaman yang sangat dicari. Oleh itu, Eco Radiance memberikan peluang bagi kumpulan untuk memperkukuh dan melanjutkan kedudukan kepimpinan pasaran di Semenyih.
“Ini dengan menawarkan hartanah kediaman dan komersial yang memenuhi keperluan pemilik rumah pertama, penambah nilai, pelabur serta pemilik perniagaan di koridor pembangunan pesat ini,” jelasnya.
Dalam aspek pendapatan berulang, beliau berkata, pembinaan shell dan core bagi pusat data di Eco Business Park V, yang akan disewa kepada Pearl Computing Malaysia Sdn. Bhd., berjalan mengikut jadual.
“Selepas siap pada separuh kedua tahun kewangan 2026, hasil sewa tetap yang signifikan dari aset ini akan menjadi penyumbang utama kepada usaha kami meningkatkan asas pendapatan berulang sehingga kira-kira 20 peratus hingga 30 peratus daripada keuntungan bersih dari masa ke masa,” katanya. – UTUSAN










