EcoWorld catat untung bersih tertinggi RM445.3 juta - Utusan Malaysia

EcoWorld catat untung bersih tertinggi RM445.3 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: EcoWorld Development Group Berhad (EcoWorld) menutup tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2025 dengan pencapaian cemerlang apabila merekodkan untung selepas cukai (PAT) berjumlah RM445.3 juta. 

Lonjakan sehingga 47 peratus berbanding RM134.13 juta yang dicatat tahun lalu itu turut menjadikan pencapaian tersebut yang tertinggi pernah direkodkan oleh kumpulan.

Prestasi memberangsangkan itu disokong oleh jualan keseluruhan RM4.55 bilion pada tahun kewangan 2025, melepasi sasaran tahunan sebanyak 30 peratus dan merekodkan peningkatan 12 peratus berbanding rekod tertinggi tahun kewangan 2024.

Seiring prestasi kewangan kukuh, Lembaga Pengarah turut mengisytiharkan dividen akhir dua sen sesaham, menjadikan jumlah keseluruhan dividen tahun kewangan 2025 kepada tujuh sen sesaham.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld, Datuk Chang Khim Wah, berkata tahun kewangan 2025 merupakan tahun paling berjaya dalam sejarah kumpulan itu.

“Tahun kewangan 2025 merupakan tahun pemecah rekod buat kami, dengan untung bersih, jualan dan dividen tertinggi kami pernah capai,” katanya.

Menurut EcoWorld, projek di Iskandar Malaysia menyumbang RM2.27 bilion atau 50 peratus daripada jumlah jualan, diikuti Lembah Klang (39 peratus) dan Pulau Pinang (11 peratus).

“Perincian jualan mengikut segmen menunjukkan Pilar Perbandaran (Eco Townships) mencatat RM1.89 bilion dan Kediaman (Eco Rise) RM771 juta (58 peratus). 

“Bagi segmen Komersial (Eco Hubs) menyumbang sebanyak RM664 juta (15 peratus) dan Industri (Eco Business Parks dan Quantum) sebanyak RM1.22 bilion (27 peratus),” katanya. 

EcoWorld turut merekodkan peningkatan kukuh dalam hasil dan keuntungan kasar dengan basil meningkat 30 peratus, keuntungan kasar meningkat 52 peratus dengan margin keuntungan kasar melonjak kepada 31.6 peratus berbanding 27 peratus pada tahun kewangan 2024.

Aliran tunai operasi juga mengukuh sebanyak 15 peratus kepada RM1.29 bilion, manakala aliran tunai bersih daripada aktiviti operasi meningkat kepada RM907.1 juta.

Kedudukan kewangan terus stabil dengan tunai dan dana jangka pendek mencecah RM2.28 bilion, menyumbang kepada nisbah hutang kasar dan bersih masing-masing 0.65 kali dan 0.28 kali.

Segmen kediaman terus menjadi penyumbang utama, mewakili 58 peratus daripada jumlah jualan kumpulan, dipacu oleh permintaan tinggi untuk rumah naik taraf dan projek duduk yang kekal laris merentasi tiga wilayah.

Eco Botanic 3 di Iskandar Puteri menjadi pemacu utama jualan kediaman, manakala projek duduk di Lembah Klang dan Pulau Pinang terus merekodkan kadar jualan hampir penuh.

Segmen komersial melalui Eco Hubs mencatat RM664 juta dalam jualan, disokong kematangan beberapa perbandaran yang meningkatkan permintaan terhadap ruang pejabat dan runcit.

Bagi segmen industri, Eco Business Parks dan Quantum mencapai jualan RM1.22 bilion, kenaikan 11 peratus dipacu beberapa transaksi besar membabitkan syarikat seperti Microsoft Payments Malaysia, Pearl Computing Malaysia dan Deye New Energy Technology Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN