PETALING JAYA: Dua syarikat tempatan, SkyeChip Sdn. Bhd. dan Xenith Technology (Malaysia) Sdn. Bhd., telah menerima kelulusan token harta intelek (IP) Custom Silicon Stack (CSS), sekali gus diberi mandat untuk memacu reka bentuk litar bersepadu (IC) bernilai tinggi di Malaysia.
Bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan Malaysia terus menunjukkan komitmen dalam memperkasa industri semikonduktor negara dengan pencapaian baharu di bawah Inisiatif Kerjasama Strategik ARM–Malaysia.
“Saya sangat teruja untuk mengumumkan satu lagi pencapaian bersejarah di bawah Inisiatif Kerjasama Strategik ARM–Malaysia.
“Ini adalah komitmen jelas kerajaan untuk memperkasa bakat tempatan sambil menyerap kepakaran terbaik dunia.
“Langkah ini amat penting dalam merealisasikan aspirasi Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP2030),” katanya dalam hantaran di platform X hari ini.
Dalam hantaran berasingan di platform sama, Tengku Zafrul mengumumkan beliau mengakhiri tugasnya sebagai Menteri MITI setelah tiga tahun berkhidmat.
Beliau berkata, pihaknya berbangga dengan pencapaian MITI sepanjang tempoh tersebut dan menekankan bahawa kejayaan MITI adalah hasil usaha bersama warga kementerian dan agensi di bawahnya, bukan hanya kerana menteri yang memimpin.
Beliau turut berkongsi tiga pesanan penting untuk pegawai MITI iaitu untuk sentiasa memberikan khidmat terbaik untuk negara dan rakyat.
Beliau juga mendorong pasukan untuk sentiasa sokong satu sama lain, bangga dengan kerja sendiri dan kukuhkan semangat kerja berpasukan, selain berpegang pada prinsip integriti tanpa kompromi, mengelakkan salah guna kuasa dan rasuah.
“Integriti mengambil masa bertahun untuk dibina tetapi hanya beberapa minit untuk dimusnahkan,” tegas beliau.
Tengku Zafrul berkata, beliau akan terus menjadi penyokong nombor satu MITI walau di mana pun berada dan berharap semua menjaga nama baik kementerian.
Tugas Tengku Zafrul sebagai Menteri MITI berakhir semalam, susulan tamat tempoh sebagai senator. – UTUSAN










