PETALING JAYA: Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) memperkukuh keupayaan dan kesiapsediaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera mengatasi jurang kritikal melalui Program Gemilang SME.
Program pemerkasaan hibrid itu dikendalikan BPMB Dana, cabang pelaburan strategik BPMB dengan sokongan Pusat Pembangunan dan Penyelidikan Usahawan (CEDAR), anak syarikat milik penuh SME Bank.
Ia turut menutup program dengan sesi Gemilang SME Pitch Day yang menghimpunkan 10 syarikat Bumiputera berpotensi tinggi untuk membentangkan strategi perniagaan, pelan pertumbuhan dan cadangan pelaburan.
Pegawai Utama BPMB Dana, Muhammad Azraini Abdul Hamid berkata, program itu diwujudkan untuk memperkukuh kesiapsiagaan PKS Bumiputera dalam mencapai tahap daya saing dan ketahanan yang lebih tinggi.
“Para peserta telah menunjukkan usaha konsisten dalam mengukuhkan asas perniagaan serta komitmen jelas terhadap pertumbuhan.
“BPMB akan terus menyokong perusahaan berpotensi tinggi yang mampu mencipta nilai dan menyumbang secara signifikan kepada pembangunan negara,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Samad Majid Zain berkata, peranan CEDAR dalam Program Gemilang SME mencerminkan usaha berterusan bank itu untuk mempertingkat keupayaan PKS melalui latihan berstruktur, pengukuhan tadbir urus dan bimbingan berorientasikan eksport.
“Sebagai entiti dalam BPMB, kerjasama ini memanfaatkan sinergi kumpulan bagi mempercepat pertumbuhan bermakna untuk perusahaan Bumiputera serta ekosistem PKS secara keseluruhan,” ujarnya.
Acara itu menjadi platform kolaborasi antara PKS, BPMB, CEDAR dan rakan ekosistem, selain memberikan pendedahan strategik kepada syarikat yang bersedia melangkah ke fasa pertumbuhan lebih dinamik.
Inisiatif ini turut menggariskan keutamaan BPMB dalam mendorong pertumbuhan inklusif, mengukuhkan tadbir urus berintegriti dan menyokong amalan lestari selaras dengan agenda. pembangunan nasional.
PKS terpilih akan diumumkan selepas proses penilaian pelaburan dimuktamadkan dengan sokongan susulan dirangka bagi mengukuhkan tadbir urus, mempercepatkan peningkatan skala dan memaksimumkan nilai jangka panjang. – UTUSAN










