BERBEKALKAN modal RM1,500 dan minat berniaga yang berakar sejak kecil, Mohd. Amirul Amin Abd. Wahab, 38, membuktikan bahawa kejayaan bukan milik mereka yang bermula dengan sempurna tetapi untuk mereka yang berani bermula.
Pengasas Mr. Chicck’s Chicken & Burger ini bukan datang daripada latar belakang yang dikenali, sebaliknya merupakan anak sulung daripada lima beradik yang membesar dalam keluarga peniaga kecil serta mula membantu ayahnya menjual pisang dan santan sejak di bangku sekolah.
“Semangat itu terus dibawa sehingga saya melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Namun, jiwa saya tidak pernah betah dengan kehidupan makan gaji.
“Setelah tamat kontrak kerja pada 2019, ia menjadi titik perubahan besar dan memilih untuk serius berniaga sepenuh masa.
“Idea Mr. Chicck lahir ketika pasaran burger jalanan masih dibanjiri burger patty biasa. Burger ayam crispy pada waktu itu hanya sinonim dengan rangkaian makanan segera, bukan gerai tepi jalan.
“Saya nampak satu kelompongan besar dalam pasaran. Orang suka ayam crispy, tapi tak banyak yang jual versi jalanan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Pada 2021, beliau memperkenalkan konsep burger ayam crispy sebagai produk utama dan membangunkan jenama Mr. Chicck secara agresif melalui model pelesenan.
Dalam tempoh singkat, hampir 100 gerai berjaya dibuka di seluruh Semenanjung Malaysia tetapi kejayaan pantas itu tidak kekal lama.
“Selepas fasa pasca Covid-19, ramai rakan niaga mula meninggalkan perniagaan apabila kembali ke pekerjaan asal. Cabaran terbesar bukan pada produk tetapi manusia.
“Ada yang tidak mematuhi harga siling, ada yang meniru sistem dan bergerak sendiri.
“Akibatnya, saya menanggung kerugian sekitar RM180,000, termasuk kos operasi, deposit dan pelaburan logistik.
“Itu titik terendah saya. Tapi kalau tak jatuh masa itu, mungkin saya akan jatuh lebih teruk kemudian,” katanya.

Setakat ini, Mr. Chicck’s Chicken & Burger telah mengukuhkan kehadirannya menerusi beberapa lokasi terpilih di sekitar Lembah Klang dan Pantai Timur selain rangkaian ejen di sekitar cawangan utamanya di Gombak.
Tambah beliau, melihat kesukaran pengusaha gerai menyediakan ayam crispy dari awal, kos pekerja, masa dan pembaziran, syarikat mengambil langkah strategik memperkenalkan burger ayam crispy sejuk beku separa masak.
“Produk ini hanya perlu digoreng selama empat hingga lima minit sebelum dihidang, menjimatkan masa, minyak dan tenaga kerja.
“Sambutan pasaran ternyata positif. Bermula Jun 2023, jualan produk frozen konsisten mencatatkan RM10,000 hingga RM11,000 sebulan, manakala operasi kedai mencatat keuntungan bersih sekitar RM7,000 hingga RM8,000 sebulan.
“Hari ini, Mr. Chicck bukan sekadar sebuah jenama burger tetapi pembekal kepada ratusan pengusaha kecil yang mahu menambah menu burger crispy tanpa risiko tinggi,” tambah beliau.
Mengulas lanjut, Amirul berkata, berbeza sebelum ini, dirinya kini lebih berhati-hati dalam pengembangan.
“ Daripada mengejar ratusan gerai, saya memilih untuk membina jenama yang kukuh melalui kedai fizikal dan dapur pengeluaran berpusat.
“Dalam tempoh tiga tahun akan datang, sasaran Mr. Chicck ialah untuk membuka lima cawangan berskala restoran serta memperbesarkan kapasiti dapur bagi memenuhi permintaan produk sejuk beku.
“Kalau orang ambil jenama kita untuk francais, kita nak pastikan mereka untung. Kita tak nak nama brand naik sekejap, lepas itu tenggelam,” katanya.
Dalam pada itu, Amirul turut menasihatkan bahawa kesilapan paling besar bakal peniaga ialah menunggu segalanya sempurna.
“Jangan tunggu modal besar. Jalan dulu dengan apa yang ada. Yang penting, ada perancangan, konsisten dan fokus satu perkara.
“Jangan juga terikut-ikut dengan trend tular tanpa identiti perniagaan yang jelas.
“Kalau nak buat sesuatu perkara, buat betul-betul. Jangan sehingga yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran,” katanya. -UTUSAN










