SUBANG: Batik Air melancarkan empat laluan baharu yang beroperasi dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang (SZB) ke Singapura, Jakarta, Johor Bahru dan Langkawi.
Pelancaran itu turut mengukuhkan peranan Subang sebagai pintu masuk bandar yang moden dan mudah diakses pengembara Lembah Klang dan menawarkan penumpang fleksibiliti lebih besar serta pilihan alternatif selain Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA Terminal 1).
Ia sekali gus menyokong Pelan Pemulihan Lapangan Terbang Subang (SARP) yang memposisikan SZB sebagai pintu masuk dinamik bagi merangsang pertumbuhan pelancongan dan aktiviti ekonomi.
Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata Subang muncul sebagai pintu masuk bandar yang menawarkan keselesaan, konektiviti dan kecekapan kepada pengembara.
“Pengembangan ini selaras dengan inisiatif SARP oleh kerajaan dalam mentransformasi SZB sebagai lapangan terbang bandar yang memberi manfaat kepada penumpang, komuniti setempat dan perniagaan serantau.
“Ketika Malaysia bersiap sedia menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2026, laluan baharu ini berperanan penting membuka lebih banyak peluang kedatangan pelawat.
“Kebolehcapaian yang dipertingkat memudahkan pengembara menikmati kepelbagaian tarikan di Malaysia, selain mengukuhkan hubungan ekonomi, aliran perdagangan dan kerjasama serantau.
“Batik Air melihat Subang sebagai elemen penting dalam memastikan rangkaian kami terus berkembang seiring keperluan perjalanan masa depan,” katanya dalam kenyataan.
Pada masa ini, Batik Air mengendalikan laluan Subang ke Pulau Pinang, Kota Bharu, Kota Kinabalu, Kuching dan Bangkok.
Penambahan terbaharu itu memperkukuh rangkaian syarikat penerbangan tersebut selain meningkatkan kebolehcapaian dan kemudahan perjalanan di seluruh negara dan rantau ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Chua Yee Ling berkata, pengenalan laluan baharu itu hadir pada masa yang tepat ketika Selangor menuju Tahun Melawat Selangor 2025.
“Dengan 6.4 juta ketibaan pelancong direkodkan sehingga suku ketiga tahun ini, sambungan tambahan, khususnya penerbangan langsung baharu ke Indonesia, pasaran pelancongan perubatan terbesar Selangor dijangka merancakkan lagi kedatangan pelancong.
“Kebolehcapaian yang dipertingkat juga menyokong pertumbuhan sektor pelayaran di Klang selain memudahkan pergerakan pelancong di Lembah Klang,” jelasnya.
Pengembangan rangkaian tersebut menegaskan komitmen Batik Air terhadap perjalanan lebih lancar serta kesinambungan serantau yang kukuh.
Ia sekali gus meningkatkan akses ke destinasi utama di Malaysia dan menyokong pertumbuhan pelancongan, ekonomi serta integrasi serantau.
Dalam pada itu, Batik Air turut melancarkan kempen khas “SAVE BIG THIS 12.12” dengan tempoh tempahan dari 12 hingga 14 Disember 2025, manakala tempoh perjalanan bermula bulan ini hingga Jun 2026.
Pengembara digalakkan merancang percutian 2026 lebih awal menerusi tawaran menarik meliputi laluan domestik dan ASEAN. – UTUSAN










