Bank Islam lancar Payment to Voice, mantapkan urus niaga PKS dan mikro

Bank Islam lancar Payment to Voice, mantapkan urus niaga PKS dan mikro

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) memperkukuh pengalaman perbankan digital bagi segmen Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan perniagaan mikro melalui penambahan ciri Payment to Voice dalam aplikasi BIMB Biz.

Ciri baharu itu bertujuan memberi notifikasi suara masa nyata kepada peniaga untuk setiap transaksi yang berjaya melalui DuitNow QR tanpa sebarang caj dan peranti tambahan seperti soundbox.

Dengan pengenalan ciri tersebut, ia dapat mengurangkan risiko peniaga terlepas notifikasi pembayaran, menjimatkan kos operasi dan meningkatkan keyakinan terhadap pembayaran dalam talian.

Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Perbankan Runcit Bank Islam, Mizan Masram berkata, pengenalan ciri Payment to Voice adalah sebahagian daripada usaha Bank Islam untuk menyediakan penyelesaian yang relevan dan inklusif kepada para pelanggan.

“Ciri baharu kami membolehkan sehingga lima juruwang menerima pemberitahuan transaksi secara serentak pada peranti sedia ada, menjadikan operasi lebih telus dan teratur.

“Pada masa sama, pemilik perniagaan akan turut menerima kesemua pemberitahuan urus niaga yang telah disempurnakan,” katanya dalam kenyataan.

Ciri Payment to Voice tersedia untuk pengguna Android, iOS dan Huawei bagi memastikan akses yang meluas dan inklusif.

Mengulas lanjut pembaharuan itu, BIMB Biz merekodkan kira-kira 15,000 pengguna aktif dengan jumlah transaksi mencecah RM1.2 bilion setakat Oktober tahun ini.

“Kami menyasarkan pertumbuhan sebanyak 50 peratus dalam jumlah pengguna BIMB Biz dalam tempoh 12 bulan akan datang, khususnya dalam kalangan peniaga mikro seperti yang mengusahakan gerai dan warung, pasar malam, kios bazar dan amil zakat.

“Bank Islam percaya bahawa teknologi harus memudahkan urusan peniaga dan bukan menambah beban termasuk tanpa mengira saiz atau lokasi perniagaan mereka, selain berhak menikmati penyelesaian yang praktikal, selamat dan mampu milik,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN