DALAM suasana pasaran kerja yang semakin mencabar terutama dengan isu pengangguran belia dan ketidakpadanan pekerjaan, penggunaan kecerdasan buatan (AI) kini muncul sebagai faktor yang mengubah cara rakyat Malaysia mencari kerja.
Pengasas platform pencarian kerja MyJobe.com, Pais Serhii berkata, masalah terbesar dalam proses mencari kerja hari ini ialah manual searching atau pencarian kerja secara manual yang mengambil masa, tidak sistematik serta sering menyebabkan peluang terlepas begitu sahaja.
Menurut beliau, ketidakseragaman masa di mana sesuatu jawatan baharu diiklankan tetapi pencari kerja hanya melihatnya beberapa hari kemudian mengakibatkan banyak peluang hilang sebelum sempat dipohon.
“Calon perlu melawat pelbagai platform setiap hari. Ramai yang kecewa kerana melihat jawatan sama berulang kali, sedangkan peluang baharu tenggelam dalam timbunan iklan. AI boleh menyelesaikan isu itu.
“Berbeza dengan platform lain yang dibangunkan sebelum era AI, MyJobe dibina sepenuhnya menggunakan asas AI dari peringkat teras. Pengguna hanya perlu mencipta profil dan mengaktifkan status sedia untuk bekerja.
“Selepas itu, sistem kami akan memulakan kerjanya sendiri. Bila ada peluang yang sepadan, pengguna terus dimaklumkan. Kami tidak memohon bagi pihak pengguna, tetapi kami menghapuskan keperluan untuk mencari secara manual setiap hari,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sistem padanan AI MyJobe menilai kesesuaian calon dengan skor antara sifar hingga 100 peratus dan hanya memaklumkan calon apabila padanan melepasi sekurang-kurangnya 65 peratus.
“Ini bukan sekadar memudahkan pencari kerja, tetapi turut mengurangkan bilangan permohonan tidak relevan yang diterima majikan,” katanya.
“Dalam pada itu, bagi golongan yang sering berdepan masalah asas seperti penyediaan resume, platform itu turut menawarkan penjana AI vitae kurikulum (CV) secara percuma,” katanya.
Platform itu ketika ini menjalankan kerjasama dengan beberapa universiti termasuk Unitar International University (Unitar) bagi mengumpulkan maklum balas pelajar serta mengenal pasti punca ketidakpadanan pekerjaan dalam kalangan graduan baharu.
“Isu utama yang dikenal pasti ialah ‘peluang muncul pada masa salah’ iaitu ketidakseragaman masa antara pengiklan jawatan dan pencari kerja.
“Kebanyakan platform kerja di Malaysia memberi fokus kepada industri tertentu seperti profesional, pekerja separa mahir atau graduan.
“Kami mahu menjadi platform merentas semua industri. Sekarang ini, sektor paling aktif ialah makanan dan minuman (F&B), tetapi kami sedang memperluas ke sektor lain,” katanya.
“Kebolehan AI menapis calon dan peluang berdasarkan faktor kemahiran dan keperluan sebenar membantu memastikan padanan lebih tepat dan mengurangkan ‘ghosting’ antara pencari kerja dan majikan.
Dalam isu keselamatan data, Pais berkata, hanya syarikat berdaftar dibenarkan mengiklankan jawatan di platform itu.
Menurut beliau, syarikat disaran melalui proses verifikasi melalui dokumen asas seperti sijil perusahan kecil dan sederhana (PKS) atau bil utiliti, syarikat tidak sah akan disemak secara manual oleh moderator dan iklan mencurigakan atau berunsur penipuan akan ditolak sebelum ia disiarkan.
“Kami memang pernah jumpa cubaan iklan daripada syarikat meragukan seperti ‘trading scam’. Semua ditolak serta-merta.
“Selain itu, profil syarikat juga menampilkan reputasi serta ulasan daripada pekerja sedia ada dan bekas pekerja bagi meningkatkan ketelusan,” katanya.
Pais berkata MyJobe sedang dibangunkan sebagai satu ‘pangkalan data negara’ di masa depan seakan LinkedIn versi Malaysia tetapi lebih menyeluruh.
“Calon ada profil, majikan ada profil. Walaupun calon tidak aktif mencari kerja, profilnya tetap hidup dan bersedia. Ia menjadikan pasaran kerja lebih inklusif dan responsif.
“Jika dimanfaatkan sepenuhnya, sistem ini boleh membantu kerajaan menyokong usaha mempercepatkan digitalisasi tenaga kerja,” katanya. – UTUSAN









