PETALING JAYA: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) yakin kepimpinan Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) baharu akan terus memperkukuh agenda eksport negara seiring dengan keutamaan pembangunan ekonomi Malaysia.
Pengerusi Matrade, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, menteri baharu akan memberikan sokongan padu terhadap inisiatif promosi eksport serta pembangunan pengeksport yang diterajui oleh Matrade.
“Pengalaman luas beliau dengan latar belakang profesional yang kukuh dalam bidang kewangan, perakaunan, pengauditan dan hal-ehwal korporat merupakan kriteria penting dalam menyokong pembangunan ekonomi.
“Ini khususnya dalam merangka dan melaksanakan dasar berkaitan pelaburan, perdagangan dan industri,” katanya dalam kenyataan.
Johari pernah memegang beberapa jawatan penting kabinet merangkumi Timbalan Menteri Kewangan (2015-2016), Menteri Kewangan II (2016-2018) serta Menteri Perladangan dan Komoditi sejak 2023.
Pengalaman ini amat signifikan dalam merangka dasar berkaitan pelaburan, perdagangan, dan industri yang berkait rapat dengan dasar fiskal, insentif percukaian dan aliran modal negara.
Selain itu, pengalaman luas beliau sebagai pengerusi dan pengarah di syarikat-syarikat utama termasuk yang tersenarai di Bursa Malaysia dalam sektor-sektor seperti pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan membuktikan keupayaan beliau membuat keputusan strategik.
Tambahnya, ini turut memberikan pemahaman praktikal tentang rantaian bekalan global, cabaran pasaran antarabangsa dan keperluan untuk meningkatkan daya saing eksport Malaysia.
Jelasnya, Matrade yakin momentum pencapaian MITI semasa kepimpinan bekas menteri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz akan terus dipacu di bawah kepimpinan baharu ini.
“Pelantikan ini juga dilihat tepat bagi mengemudi MITI dan agensi ke arah menjadikan Malaysia hab perdagangan dan industri serantau yang dinamik,” ujarnya. – UTUSAN










