58 syarikat disenaraikan di Bursa Malaysia setakat tahun ini - Utusan Malaysia

58 syarikat disenaraikan di Bursa Malaysia setakat tahun ini

AMIR Hamzah (empat dari kiri) melihat papan Pasaran Utama selepas penyenaraian Orkim Bhd di Bursa Malaysia semalam. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dijangka mampu merealisasikan sasaran 60 penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO) yang ditetapkan tahun ini apabila sebanyak 58 syarikat telah berjaya disenaraikan di pasaran saham tempatan setakat ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah berkata, dengan hanya berbaki dua syarikat bagi melepasi unjuran 60 IPO tahun ini, ia sekali gus mencerminkan peningkatan keyakinan terhadap pasaran tempatan.

“Sasaran 60 penyenaraian mampu dicapai dalam tempoh terdekat, disokong minat kukuh syarikat-syarikat tempatan untuk mengakses pembiayaan pasaran modal. 

“Dari segi jumlah dana yang dikumpulkan, kita menjangkakan ia menghampiri RM30 bilion dalam peningkatan permodalan pasaran. Namun, untuk bergerak ke hadapan, fokus Bursa bukan hanya kepada angka, tetapi juga kepada skala.

“Kita mahu melihat lebih banyak syarikat bersaiz besar memasuki pasaran, mengukuhkan papan utama serta meluaskan sasaran pelabur,” katanya kepada pemberita selepas penyenaraian Orkim Berhad dalam pasaran utama di Bursa Malaysia semalam.

Penyenaraian Orkim menjadi bukti jelas sinergi dan kesinambungan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC). 

Sejak pelaburan Ekuinas pada 2014, Orkim berkembang maju untuk menjadi pengendali kapal tangki Produk Petroliam Bersih (CPP) terbesar Malaysia dengan menguasai 56 peratus bahagian pasaran domestik, di antara kapal-kapal yang berdaftar di Malaysia.

Orkim kini beralih kepada kepimpinan institusi jangka panjang Permodalan Nasional Bhd (PNB), yang bersama dengan Dana Unit Amanahnya memegang kepentingan ekuiti 60 peratus selepas penyenaraian. 

Mengulas perkembangan Bursa Carbon Exchange (BCX), dengan memperkenalkan dagangan kredit karbon tahun lalu, kini menarik minat lebih banyak pihak termasuk dari Indonesia, Thailand dan Filipina.

Katanya, penyertaan aktif industri dan ekosistem yang kukuh amat penting agar perdagangan kredit karbon menjadi instrumen ekonomi yang berkesan dan menarik.

“Malaysia komited kepada matlamat sifar karbon 2050. Dengan kerangka ukuran karbon yang lengkap di bawah Dasar Perubahan Iklim Negara, kerajaan akan memperkenalkan mekanisme cukai karbon selepas metodologi rasmi disediakan,” katanya.

Berhubung isu lanjutan insentif cukai bagi sektor logistik dan tenaga, Amir menjelaskan, kerajaan tetap komited menyokong industri tempatan tetapi mahu memastikan insentif diberikan dengan kejelasan dan impak.

“Kami menyokong industri, tetapi mesti ada komitmen dan pembangunan ekosistem yang lengkap.

“Insentif semata-mata tidak mencukupi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN