Untung bersih F&NHB tumbuh kepada RM114.3j

Untung bersih F&NHB tumbuh kepada RM114.3j pada suku keempat

FRASER & Neave Holdings Bhd.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Fraser & Neave Holdings Bhd (F&NHB) mencatatkan pertumbuhan kukuh untung bersih kepada RM114.3 juta bagi suku keempat berakhir 30 September 2025, berbanding RM84.9 juta yang direkodkan pada suku sama tahun sebelumnya.

Dalam maklumkan di Bursa Malaysia, kumpulan melaporkan hasil sebanyak RM1.23 bilion pada suku tinjuan, berbanding RM1.26 bilion pada suku yang sama tahun lalu, di sebalik persekitaran global mencabar disebabkan ketegangan geopolitik dan ketidakpastian pasaran.

Keuntungan operasi kumpulan meningkat sebanyak 45 peratus tahun ke tahun kepada RM173.8 juta pada suku sama berbanding RM119.9 juta pada tahun sebelumnya, disokong oleh penurunan kos input serta penambahbaikan kecekapan operasi.

Menurut kenyataannya, prestasi yang kukuh ini sebahagiannya mengimbangi cukai pendapatan yang lebih tinggi berikutan penggunaan sepenuhnya dengan promosi istimewa bagi anak syarikat di Thailand serta kos permulaan ladang tenusu.

F&B Malaysia mencatatkan peningkatan hasil kepada RM2.96 bilion, didorong oleh pelaksanaan inisiatif perdagangan dan pemasaran yang berkesan, prestasi kukuh merentasi semua saluran serta peningkatan jualan eksport. 

Sementara itu, Food & Beverage Indochina (F&B Indochina) mencatatkan penurunan hasil sebanyak 15.4 peratus pada suku keempat (16.8 peratus dalam nilai baht Thailand), disebabkan oleh kelembapan sektor pelancongan, banjir di wilayah utara Thailand serta gangguan eksport ke Kemboja dan Myanmar yang menjejaskan jualan.

Lembaga pengarah mencadangkan dividen akhir tunggal sebanyak 35.0 sen sesaham, berjumlah kira-kira RM128.4 juta bagi tahun kewangan yang berakhir pada 30 September 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif di Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N), Lim Yew Hoe berkata, prestasi F&NHB sepanjang 2025 menekankan kepentingan strateginya dalam merangkul nilai merentas semua aktiviti perniagaan. 

“Ia juga mencerminkan ketahanan dan kecekapan kumpulan dalam mengekalkan kestabilan dalam persekitaran yang mencabar bagi perniagaan teras kami, sambil meneruskan pembangunan ladang tenusu bersepadu untuk memacu pertumbuhan masa hadapan,” katanya.

Menyentuh prospek kumpulan bagi tahun kewangan 2026, Yew Hoe berkata, pihaknya teruja untuk meraikan ulang tahun ke-60 F&NHB di Malaysia Timur, menandakan satu pencapaian

penting enam dekad sejak bermulanya operasinya pada 1966.

“Melangkah ke hadapan, kami kekal komited terhadap pertumbuhan jangka panjang melalui pelaburan strategik yang memperluas capaian pelanggan dan mengurangkan impak terhadap alam sekitar. 

“Inisiatif strategik seperti F&N AgriValley mencerminkan aspirasi kami untuk menawarkan susu segar bertaraf dunia kepada rakyat Malaysia pada harga yang berpatutan serta menyumbang ke arah matlamat keselamatan makanan negara.

“Walaupun pelaburan ini mungkin memberi kesan sementara terhadap margin, kami yakin dengan potensi pulangan selaras dengan rancangan dan sasaran pencapaian kami,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×