PETALING JAYA: Southern Cable Group Berhad mencatatkan untung bersih RM35.7 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2025, meningkat 92.3 peratus berbanding RM18.6 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Prestasi kukuh itu didorong permintaan yang meningkat terhadap kabel dan wire susulan pelaksanaan projek berkaitan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), pembangunan infrastruktur serta pertumbuhan pesat pusat data.
Hasil kumpulan turut meningkat 16.4 peratus kepada RM446.5 juta, disokong permintaan kukuh bagi kabel dan wire tenaga serta peningkatan kapasiti pengeluaran sebanyak 17 peratus kepada 54,980 kilometer setahun.
Pertumbuhan jualan direkodkan merentas segmen utiliti tenaga, pembinaan, infrastruktur dan eksport ke Amerika Syarikat (AS).
Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2025, Southern Cable merekodkan untung bersih RM94.8 juta, melonjak 101.3 peratus berbanding RM47.1 juta tahun lalu, manakala hasil meningkat 24.3 peratus kepada RM1.26 bilion.
Pengarah Urusan Southern Cable, Tung Eng Hai berkata, momentum permintaan tenaga berada pada tahap yang belum pernah berlaku sebelum ini.
“Kita sedang menyaksikan satu perubahan besar dalam permintaan tenaga negara. Naik taraf grid nasional di bawah NETR serta pertumbuhan fasiliti intensif tenaga seperti pusat data mendorong permintaan berterusan terhadap infrastruktur tenaga baharu.
“Kami melabur secara strategik untuk pertumbuhan mampan, termasuk mengukuhkan segmen Voltan Lebih Tinggi (EHV). Dengan melokal pengeluaran kabel EHV dan meningkatkan kapasiti rod aluminium sehingga tiga kali ganda, kami bersedia menyokong aspirasi grid transmisi negara serta mengurangkan kebergantungan import,” katanya dalam kenyataan.
Di Kedah, projek pengembangan di Kuala Ketil berjalan mengikut jadual melibatkan pembinaan fasiliti baharu di tapak seluas 3.2 hektar.
Syarikat akan memasang relau berkapasiti tinggi pada suku pertama 2026, yang akan meningkatkan kapasiti rod aluminium kepada lebih 60,000 tan setahun, tiga kali ganda daripada kapasiti sedia ada.
Fasiliti itu turut menempatkan barisan pengeluaran kabel voltan sederhana hingga tinggi dan voltan sederhana hingga ekstra tinggi, dengan penyempurnaan dijangka pada 2027.
Sehingga 30 September 2025, Southern Cable mempunyai tempahan berjumlah RM1.04 bilion, memastikan prospek pendapatan kukuh sehingga 2026.
Tempahan merangkumi pembekalan kabel bawah tanah dan konduktor kepada syarikat utiliti tenaga, sistem penyearah dan bateri kepada syarikat telekomunikasi, serta pesanan daripada kontraktor EPCC dan pengedar.
Dengan permintaan infrastruktur tenaga kekal memberangsangkan, Southern Cable berada pada kedudukan kukuh untuk meneruskan trajektori pertumbuhan positif pada tahun-tahun mendatang. – UTUSAN










