PETALING JAYA: Iddas Industry Sdn. Bhd. yang bermula secara kecil-kecillan pada 2012 memperkukuhkan jenamanya di pasaran tempatan sebagai produk makanan yang bersih, selamat setelah menerima pengiktirafan halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Sebagai tanda konsistensi terhadap kualiti dan pematuhan halal, Idda’s Frozen Food telah dua kali memperbaharui sijil halalnya.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hamidah Sulaiman berkata, perniagaan mereka bermula dengan menghantar kuih ke pasar pagi Gerik dan kantin sekolah.
“Kami mula serius apabila mengikuti kursus anjuran Jabatan Pertanian Perak pada 2019 mengenai pemprosesan sejuk beku. Dari situ, kami berani membuka kedai di Gerik Perak.
“Pembukaan kedai fizikal ini turut dipacu oleh permintaan produk yang semakin meningkat, termasuk penembusan ke pasar raya tempatan seperti TF Value Mart.
“Memandangkan kami dah mula jual di pasaran rasmi, kami perlu mendapatkan sijil halal, kerana pengeluaran di rumah tidak dibenarkan untuk pensijilan rasmi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Hamidah berkata, perjalanan untuk mendapat pengiktirafan halal bukan mudah.
“Tiga bulan selepas pembukaan kedai, kami menghadapi cabaran besar apabila Covid-19 melanda.
“Kedai saya hampir terpaksa ditutup, namun bantuan daripada Jabatan Pertanian dan surat sokongan dari Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) membolehkan kami terus menjalankan pengeluaran bersama anak-anak walaupun kedai ditutup semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.
Tambah Hamidah, permohonan sijil halal telah dibuat awal, namun audit tidak dapat dijalankan kerana sekatan pandemik.
“Kami sabar menunggu dan apabila PKP dilonggarkan, barulah audit dapat dijalankan. Alhamdulillah, kami berjaya mendapat sijil halal meskipun ketika pandemik melanda. Sijil halal ini kami uruskan sendiri tanpa bantuan geran atau perunding,” tambahnya.
Bagi Hamidah, sijil halal bukan sekadar pengiktirafan tetapi juga penentu keyakinan pelanggan dan standard kualiti produk.
“Dengan sijil halal, prosedur operasi standard (SOP) pengeluaran dan keyakinan pelanggan meningkat. Cabarannya termasuk pertukaran pembekal bahan mentah yang kadang-kadang tidak memperbaharui sijil halal, jadi kami perlu sentiasa memastikan sumber bahan mentah adalah sahih dan halal,” ujarnya.
Iddas Industry kini bercadang untuk menembusi pasaran antarabangsa dengan produk baharu seperti pau berintikan dendeng, daging masak hitam, ayam masak merah, blueberry dan mangga harumanis.
Hamidah menekankan kepentingan halal sebagai asas untuk memastikan setiap makanan yang disediakan adalah halalan toyiban, dengan sumber bahan mentah yang jelas dan disahkan halal.
Dengan perjalanan 14 tahun yang penuh cabaran ini, Iddas Industry membuktikan bahawa kesabaran, kepatuhan kepada standard halal dan kualiti produk adalah kunci untuk membina perniagaan makanan yang dipercayai pelanggan. – UTUSAN










