Sektor perkhidmatan meningkat 6.3 peratus pada suku ketiga 2025 - Utusan Malaysia

Sektor perkhidmatan meningkat 6.3 peratus pada suku ketiga 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor perkhidmatan Malaysia mencatatkan pertumbuhan 6.3 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga 2025, dengan jumlah hasil RM657.7 bilion, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan ini disokong oleh prestasi positif semua segmen utama serta peningkatan aktiviti perniagaan.

“Segmen perdagangan borong dan runcit, penginapan serta makanan dan minuman mencatatkan pertumbuhan tahunan 5.8 peratus dengan jumlah hasil RM496.8 bilion. 

“Peningkatan ini didorong oleh aktiviti perjalanan domestik, perbelanjaan pengguna yang kukuh melalui inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta ketibaan pelawat antarabangsa yang lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, segmen maklumat dan komunikasi serta pengangkutan dan penyimpanan turut mencatatkan pertumbuhan tahunan 6.4 peratus, dengan hasil RM91.0 bilion. 

“Subsektor maklumat dan komunikasi meningkat 4.0 peratus, manakala pengangkutan dan penyimpanan naik 9.1 peratus, mencerminkan permintaan berterusan bagi perkhidmatan digital dan logistik,” tambahnya.

Selain itu, segmen perkhidmatan profesional, hartanah dan pentadbiran serta khidmat sokongan merekodkan pertumbuhan 8.8 peratus.

Kesihatan swasta, pendidikan swasta, kesenian, hiburan dan rekreasi serta perkhidmatan persendirian dan lain-lain aktiviti meningkat 12.4 peratus, disokong oleh permintaan kukuh terhadap pendidikan tinggi swasta, perkhidmatan penjagaan diri, kesihatan dan rekreasi.

“Pendapatan e-dagang pada suku ketiga 2025 berjumlah RM312.6 bilion, meningkat 1.3 peratus tahun ke tahun, disokong oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan. Bagaimanapun, berbanding suku sebelumnya, pendapatan ini mencatatkan penurunan sedikit sebanyak 0.4 peratus,” katanya. 

Mengulas mengenai guna tenaga, beliau berkata, jumlah pekerja dalam sektor perkhidmatan meningkat 2.4 peratus kepada 4.6 juta orang, dipacu oleh subsektor pengangkutan dan penyimpanan serta perdagangan borong dan runcit. 

“Selaras dengan itu, gaji dan upah meningkat 4.7 peratus kepada RM34.5 bilion.

“Hasil pertumbuhan ini menunjukkan daya tahan sektor perkhidmatan dan peranannya dalam memacu aktiviti ekonomi berasaskan pengguna di Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN