PMW International bermula mendatar di Pasaran ACE - Utusan Malaysia

PMW International bermula mendatar di Pasaran ACE

PMW International Bhd. membuka dagangan pada harga 34 sen sesaham, menyamai harga tawaran awam permulaan (IPO) pada penampilan sulungnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: PMW International Bhd. membuka dagangan pada harga 34 sen sesaham, menyamai harga tawaran awam permulaan (IPO) pada penampilan sulungnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.

Saham pengeluar produk konkrit yang berpangkalan di Perak itu jatuh 4.41 peratus atau 1.5 sen, kepada 32.5 sen pada 9.44 pagi, di tengah-tengah pasaran yang secara amnya lebih lemah.

Kaunter itu adalah antara yang paling aktif diniagakan, dengan 48 juta saham bertukar tangan.

Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lee Hon Hwa berkata, penyenaraian itu menandakan permulaan fasa baharu syarikat berkenaan.

“Pencapaian ini adalah bukti dedikasi pasukan kami serta kepercayaan pelanggan dan para pemegang taruh terhadap visi dan potensi pertumbuhan kami,” katanya dalam sidang akhbar selepas penyenaraian syarikat berkenaan di Pasaran ACE di sini hari ini.

IPO tersebut telah mengumpul hampir RM91 juta, di mana RM60.66 juta adalah untuk PMW International daripada terbitan awam saham baharu dan baki RM30.33 juta disalurkan kepada pemegang saham jualannya daripada penjualan saham sedia ada.

Beliau berkata, sebanyak 77 peratus daripada dana IPO akan digunakan untuk pembinaan kemudahan baharu di Tanjung Manis, Sarawak bagi memperkukuh perkhidmatan di Malaysia Timur, manakala 0.96 peratus diperuntukkan untuk pembelian mesin dan peralatan baharu.

“Kami berhasrat membuka peluang baharu di Malaysia Timur melalui pembinaan kemudahan baharu di Tanjung Manis.

“Kami yakin pengembangan ini akan mengukuhkan kehadiran pasaran kami sekali gus memperkukuh kedudukan PMW sebagai pengeluar dipercayai bagi produk konkrit bertegasan berputar dan berkaitan,” katanya.

Tambahnya, prospek industri pembinaan kekal kukuh, khususnya di Malaysia Timur yang dipacu pembangunan infrastruktur oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

“Sarawak sedang melaksanakan pelbagai projek besar seperti Jalan Pesisir Sarawak dan Jalan Penghubung Sarawak–Sabah (SSLR). PMW berada pada kedudukan strategik untuk merebut peluang ini dan menyokong pembangunan berterusan di rantau tersebut,” ujarnya.

PMW terlibat dalam reka bentuk, pembuatan dan penjualan tiang konkrit bertegasan berputar, cerucuk serta produk berkaitan, selain menghasilkan acuan, jentera, produk logam dan pencahayaan melalui anak syarikatnya.

Dengan lebih 30 tahun pengalaman, PMW terus mengekalkan reputasi sebagai pengeluar produk konkrit tahan lasak dan boleh dipercayai, sekali gus mengukuhkan kedudukan syarikat dalam industri.

KAF Investment Bank Berhad bertindak sebagai penasihat utama, penaja, pengunderai dan ejen penempatan bagi IPO tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN