PETALING JAYA: Pindaan yang dicadangkan terhadap Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 (Akta 652) merupakan langkah penting dalam memperkukuh ekosistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Malaysia.
Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, peruntukan dalam rang undang-undang itu untuk memperkenalkan latihan modular dan mikro kelayakan serta mempertingkatkan pengiktirafan pembelajaran terdahulu.
“Ini sekali gus menstruktur semula laluan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) akan memberi pengiktirafan yang telah lama dinantikan kepada ribuan pekerja mahir dan berpengalaman di seluruh negara.
“Jadi, MEF mengalu-alukan dan menyokong sepenuhnya Rang Undang-Undang Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (Pindaan) 2025 yang dibentangkan untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat pada 10 November lalu oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, inisiatif kerajaan untuk mengiktiraf secara rasmi kepakaran pekerja mahir yang telah memperoleh kecekapan melalui pengalaman kerja bertahun-tahun harus dipuji.
“Ramai daripada mereka seperti mekanik, juruteknik mesin, jurukimpal, juruelektrik dan juruteknik merupakan tulang belakang industri Malaysia, namun tidak berpeluang memperoleh pensijilan rasmi.
“Pindaan ini akan membolehkan pekerja-pekerja ini diiktiraf secara rasmi di bawah Kerangka Kelayakan Kemahiran Kebangsaan, sekali gus memberikan mereka peluang mobiliti kerjaya, kebolehpasaran dan kredibiliti profesional.
“Inisiatif ini juga memastikan sumbangan mereka dihargai sebagai sebahagian penting dalam kemajuan industri dan ekonomi Malaysia,” ujarnya.
Syed Hussain menekankan pengenalan laluan latihan modular dan mikro kelayakan merupakan langkah progresif dan tepat pada masanya yang selaras dengan keperluan pasaran kerja masa kini yang dinamik.
“Dengan membolehkan golongan dewasa bekerja mengikuti modul latihan yang lebih pendek, fleksibel dan boleh digabungkan, pindaan ini menangani salah satu cabaran utama yang dihadapi oleh majikan dan pekerja iaitu kesukaran mengimbangi komitmen kerja serta peningkatan kemahiran.
“Pendekatan ini memastikan peningkatan kemahiran dapat dilaksanakan tanpa mengganggu operasi perniagaan atau sumber pendapatan pekerja, sekali gus mempercepatkan peralihan Malaysia ke arah tenaga kerja yang lebih mahir dan berdaya saing,” ujarnya.
Tambahnya, MEF turut menyokong penstrukturan semula sistem SKM bagi membolehkan individu mencapai status kepakaran di peringkat yang lebih tinggi.
“Langkah ini akan meningkatkan persepsi terhadap kelayakan TVET agar setara dengan laluan akademik serta mengukuhkan komitmen kerajaan untuk menjadikan TVET sebagai pilihan kerjaya utama, bukan sekadar pilihan kedua.
“Majikan juga akan mendapat manfaat daripada kerangka pensijilan kemahiran yang lebih telus dan boleh dipercayai, yang dapat menunjukkan dengan jelas tahap kecekapan dan kemahiran pekerja.
“Ini akan mempertingkatkan kecekapan pengambilan pekerja, padanan bakat dan hasil produktiviti,” katanya. – UTUSAN










