Petronas isytihar penemuan gas komersial di Suriname - Utusan Malaysia

Petronas isytihar penemuan gas komersial di Suriname

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petronas mencapai detik bersejarah selepas mengumumkan Pengisytiharan Komersial (DoC) bagi medan Sloanea di Blok 52, menandakan detik penemuan gas komersial pertama Suriname dalam perkembangan tenaga laut dalam negara itu.

Penemuan itu diperoleh melalui melalui anak syarikat milik penuhnya, Petronas Suriname E&P B.V. (PSEPBV), bersama Staatsolie Maatschappij Suriname N.V. (Staatsolie), sekali gus mengesahkan kesiapsiagaan projek untuk bergerak daripada fasa penemuan kepada pembangunan, tertakluk kepada keputusan pelaburan muktamad (FID). 

Ia membina momentum positif daripada kejayaan penerokaan Sloanea-1 pada 2020, di samping memperkukuh keyakinan kedua-dua pihak terhadap potensi hidrokarbon di lembangan luar pesisir Suriname serta komitmen bersama untuk membuka potensi tenaga air dalam negara tersebut.

Naib Presiden Aset Antarabangsa Upstream Petronas, Mohd. Redhani Abdul Rahman berkata, DoC bagi Sloanea-1 mengesahkan daya maju ekonomi medan tersebut menuju fasa pembangunan dan pengkomersialan. 

“Pencapaian ini menyerlahkan kerjasama kukuh dan kepercayaan bersama antara Petronas dan Staatsolie, yang berasaskan kepakaran teknikal, penjagaan alam sekitar serta komitmen untuk membawa manfaat bersama kepada rakyat Suriname,” katanya dalam kenyataan.  

Petronas menandatangani Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) bagi Blok 52 pada 2013, dan sejak itu, berjaya merekodkan tiga penemuan penting dalam blok tersebut.

Petronas merupakan operator Blok 52 dengan pegangan 80 peratus, manakala baki 20 peratus disandang oleh Paradise Oil Company (POC), anak syarikat Staatsolie.

Petronas kini turut mempunyai kepentingan dalam lapan blok luar pesisir di Suriname, Blok 9, 10, 48, 52, 53, 63, 64 dan 66, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai rakan pembangunan tenaga yang komited di negara tersebut.

Pencapaian ini menonjolkan fokus Petronas terhadap pertumbuhan bernilai tinggi melalui perkongsian dan kepakaran, sambil mengukuhkan kedudukan Suriname sebagai hab air dalam yang sedang muncul dalam Lembangan Suriname-Guyana. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN