PETALING JAYA: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menafikan dakwaan di sosial media bahawa syarikat itu adalah penaja tajaan utama bagi Liga Bola Sepak Bangladesh.
Syarikat minyak dan gas nasional dalam kenyataan berkata, pihaknya tidak memeterai sebarang perjanjian penajaan untuk liga bola sepak tersebut.
“Kami ingin mengesahkan bahawa Petronas tidak memeterai sebarang perjanjian penajaan untuk Liga Bola Sepak Bangladesh dan kami juga tidak membenarkan penggunaan nama atau jenama kami berkaitan dengan liga ini.
“Petronas memandang serius integriti jenama kami dan kekal fokus untuk memberikan nilai kepada pihak berkepentingan dan komuniti tempat kami beroperasi,” katanya.
Khabar angin Petronas menjalin kerjasama dengan Liga Bola Sepak Bangladesh tular di media sosial sejak malam tadi, susulan laporan beberapa portal sukan tempatan mengenai perkara itu.
Ini menarik perhatian pelbagai pihak dengan sesetengah pihak mempersoalkan keputusan syraikat itu untuk tidak menaja liga domestik tetapi sebaliknya memilih untuk menjadi penaja pertandingan asing. – UTUSAN










