Pastri tradisional cina halal raih rekod jualan MBOR

Pastri tradisional cina halal raih rekod jualan MBOR

HUAT Huat Kouping kini dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) apabila berjaya menjual 714,274 biji Tau Sar Piah dalam tempoh sebulan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Syarikat pengeluar pastri tradisional cina berstatus halal, Huat Huat Kouping (M) Sdn Bhd menempa nama dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) apabila berjaya menjual 714,274 biji Tau Sar Piah dalam tempoh sebulan.

Pengarah syarikat, Tee Choo Ling berkata, pencapaian itu membuktikan kekuatan jenama tempatan yang masih mengekalkan resipi turun-temurun.

Beliau berkata, kejayaan itu juga  memperlihatkan kemampuan Huat Huat Kouping mengangkat produk warisan masyarakat Cina ke peringkat arus perdana.

“Lebih membanggakan, produk yang kami keluarkan diproses menggunakan pendekatan moden malah, yang penting kami mendapat pensijilan halal yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Syarikat kami diasaskan pada tahun 1988 di Muar, Johor dan berpegang teguh pada nilai integriti, hormat dan inovatif dalam memastikan setiap pastri dihasilkan menepati standard kualiti serta kebersihan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Katanya, selain memiliki pensijilan halal dan MeSTI, Huat Huat Kouping kini dalam proses mendapatkan pengiktirafan Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP) bagi memperkukuh standard keselamatan makanan.

Choo Ling berkata, pengiktirafan MBOR itu menjadi bukti usaha berterusan syarikat dalam mengekalkan keaslian pastri tradisional sambil memperluas pasaran ke luar negara seperti Indonesia, Singapura dan Australia.

“Kami mahu setiap lapisan masyarakat menikmati keenakan Tau Sar Piah tanpa was-was, dan pada masa sama mengangkat produk tradisional Cina ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Katanya, dengan gabungan tradisi, inovasi dan kepercayaan pengguna, Huat Huat Kouping terus membuktikan bahawa resipi lama masih mampu mencipta kejayaan baharu dalam dunia perniagaan moden. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN