Oriental Kopi catat untung bersih RM60.8 juta pada 2025

Oriental Kopi catat untung bersih RM60.8 juta pada 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Oriental Kopi Holdings Berhad (Oriental Kopi) mencatatkan peningkatan keuntungan selepas cukai dan kepentingan bukan kawalan sebanyak 40.9 peratus kepada RM60.8 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2025, berbanding RM43.1 juta dalam tempoh sama tahun sebelum. 

Ini tidak termasuk perbelanjaan penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO) sekali sahaja sebanyak RM1.4 juta dalam tahun kewangan 2025, keuntungan bersih terlaras Oriental Kopi adalah RM62.1 juta, dengan margin keuntungan bersih terlaras sebanyak 13.8 peratus.

Kumpulan turut mencapai hasil tertinggi sebanyak RM450.9 juta, meningkat ketara sebanyak 62.6 peratus berbanding RM277.3 juta pada tahun kewangan sebelumnya. 

Prestasi kukuh ini didorong terutamanya oleh sumbangan lebih tinggi daripada rangkaian kafe, disokong oleh permintaan berterusan daripada pelanggan tempatan dan pelancong. 

Hasil daripada pengedaran dan runcit produk makanan berbungkus juga meningkat seiring dengan jumlah jualan yang lebih tinggi.

Pengarah Urusan Oriental Kopi, Datuk Calvin Chan Jian Chern berkata, prestasi rekod yang dicapai itu mencerminkan pelaksanaan disiplin strategi pengembangan sambil mengekalkan kawalan yang kukuh terhadap kualiti dan standard operasi. 

“Seiring pertumbuhan kami, kami akan berkembang secara berhati-hati untuk memastikan setiap cawangan mengekalkan kualiti, konsistensi dan pengalaman pelanggan yang menjadi identiti jenama kami.

“Pada suku ini, kami membuka beberapa cawangan baharu, termasuk di AEON Mall Bandaraya Melaka, Sunway Putra Mall di Kuala Lumpur, Sunway Carnival Mall di Pulau Pinang serta cawangan luar negara ketiga kami di Westgate Mall di Singapura. 

“Pendekatan pengembangan kami kekal teratur dan strategik, mengutamakan lokasi dengan aliran pelanggan yang kukuh. Kami akan terus menilai peluang dalam dan luar negara yang seiring dengan strategi pertumbuhan jangka panjang kami,” katanya dalam kenyataan. 

Bagi suku keempat 2025, Oriental Kopi mencatat hasil sebanyak RM133.2 juta, meningkat 14.1 peratus daripada RM116.7 juta pada suku sebelumnya. 

Keuntungan bersih suku tersebut adalah RM15.9 juta, berbanding RM17.9 juta dalam suku ketiga. 

Penyusutan kecil itu disebabkan oleh kos tidak langsung yang lebih tinggi susulan pembukaan beberapa cawangan baharu pada suku tersebut.

Ini termasuk kadar cukai efektif yang lebih tinggi akibat perbelanjaan pra-pembukaan dan permulaan operasi yang tidak boleh ditolak cukai berkaitan cawangan yang dibuka sepanjang tahun kewangan.

Dalam suku tersebut, Oriental Kopi mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 1.0 sen sesaham, berjumlah RM20.0 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2025. 

Ini mewakili kadar pembayaran sebanyak 32.9 peratus berdasarkan keuntungan bersih tahun kewangan 2025 sebanyak RM60.8 juta.

Calvin berkata, sambil terus memperkenalkan produk inovatif dan memperluas rangkaian produk dalam segmen makanan berbungkus, kumpulan melihat peluang yang besar di hadapan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN