KUALA LUMPUR: Portal Antipenipuan Nasional (NFP) yang dilancarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), PayNet dan institusi kewangan pada Ogos 2024 berjaya menyekat transaksi penipuan berjumlah RM369 juta antara Januari hingga Jun 2025.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, portal itu juga dijangka melepasi RM399 juta transaksi penipuan yang berjaya dihalang pada 2024.
Katanya, NFP juga sedang dipertingkat bagi memendekkan masa pengesanan, memperluas penyepaduan data serta mempertingkat penggunaan analitik ramalan untuk mengesan aktiviti penipuan dan akaun keldai dengan lebih berkesan.
“NFP memudahkan pengesanan dana dengan lebih pantas, membolehkan campur tangan segera oleh institusi kewangan serta penyepaduan data transaksi dan akaun keldai daripada pelbagai sumber.
“Penggunaan NFP telah mengukuhkan keupayaan pencegahan institusi kewangan,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan Persidangan Antarabangsa mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan (IFCTF) Ke-15 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.
Acara tersebut, yang berlangsung dari 4 hingga 6 November menghimpunkan lebih 50 pakar antarabangsa dan serantau serta lebih 1,200 profesional perbankan, antara lain bagi memperkukuhkan agenda pencegahan jenayah kewangan berteraskan kecerdasan buatan (AI).
Sementara itu, beliau berkata, melengkapi usaha memupuk inovasi, MyFintech Week 2025 baru-baru ini telah menghimpunkan pemain industri, pengawal selia dan agensi penguatkuasaan untuk membincangkan pendekatan inovatif dalam memerangi jenayah kewangan.
Jelasnya, antara perbincangan berharga yang diketengahkan termasuk pembangunan pangkalan pengetahuan dikuasakan AI serta strategi untuk memerangi penipuan pelaburan dan penipuan kewangan rentas sempadan.
“BNM turut mengesan minat yang semakin meningkat dalam penggunaan Financial Technology Regulatory Sandbox bagi membangunkan dan menguji penyelesaian e-KYC inovatif.
“Saya menyeru semua pihak untuk mengamalkan pemikiran kreatif dalam membangunkan penyelesaian yang inovatif, transformatif dan boleh dilaksanakan,” ujarnya. – UTUSAN










