PETALING JAYA: Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju ekonomi halal global apabila penganjuran Malaysia International Halal Showcase (MIHAS)@Shanghai 2025 mencatat kejayaan luar biasa dengan nilai jualan keseluruhan berjumlah RM3.2 bilion.
Jumlah itu melepasi sasaran RM3 bilion yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, semasa majlis perasmian pameran berkenaan.
Pencapaian itu diraih hasil daripada pameran selama enam hari yang merangkumi lebih 1,000 sesi padanan perniagaan dan 16 Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai RM922.5 juta.
Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dalam kenyataannya berkata, kejayaan tersebut bukan sahaja membuktikan kepercayaan global terhadap ekosistem halal Malaysia, malah menandakan lonjakan strategik dalam usaha mengantarabangsakan ekonomi halal negara.
“Pencapaian ini mengesahkan kedudukan Malaysia sebagai hab rujukan halal global dan memperkukuh hubungan ekonomi dengan China yang juga rakan dagang utama negara.
“MIHAS@Shanghai turut menjadi platform penting bagi memperluas pasaran eksport perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) ke peringkat antarabangsa.
“Antara tarikan utama ialah Program Pencarian Pembeli Antarabangsa (INSP) yang berjaya mempertemukan lebih 100 pembeli antarabangsa termasuk 20 pembeli premium dari China, Australia, Brazil, Hong Kong, India, Mauritius, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi,” katanya.
Kerjasama strategik antara Matrade dan Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) juga diperkukuh melalui pemeteraian MoU awal tahun ini bagi meningkatkan keterlihatan pasaran dan kemudahan perdagangan syarikat Malaysia di China.
Penganjuran MIHAS@Shanghai turut selari dengan Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang menekankan pengembangan ekosistem halal secara global.
Dalam pada itu, kejayaan MIHAS@Shanghai 2025 membina momentum daripada penganjuran MIHAS@Dubai 2024 yang mencatat nilai perdagangan RM2.2 bilion sebelum ini.
Kedua-dua penganjuran tersebut menyerlahkan konsep diplomasi halal yang digerakkan Matrade, bagi mempromosi pertumbuhan ekonomi inklusif, perdagangan mampan dan kerjasama antarabangsa melalui kekuatan industri halal Malaysia.-UTUSAN










