Mardhiyyah Hotel & Suites catat permintaan 40%

Mardhiyyah Hotel & Suites catat permintaan 40%

MARDHIYYAH Hotel & Suites diiktiraf sebagai ‘Hotel Mesra Muslim 5 Bintang Terbaik’ di Anugerah Industri Pelancongan 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Mardhiyyah Hotel & Suites Shah Alam mencatatkan peningkatan permintaan 30 hingga 40 peratus sejak memperoleh pensijilan halal pada 2021.

Penasihat Syariah Hotel Mardhiyyah, Mohd. Ihsan Fadhli berkata, status halal bukan sahaja meningkatkan keyakinan pelanggan muslim malah turut menarik minat pelancong domestik dan antarabangsa yang mengutamakan kemudahan patuh syariah.

“Halal di hotel adalah cabaran, tetapi pada masa sama ia peluang besar. Melalui rangkaian halal yang luas, baik di peringkat negeri, pusat, mahupun antarabangsa kami berjaya membina kepercayaan pelanggan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini. 

Jelasnya, langkah itu turut memperkukuh kedudukan Hotel Mardhiyyah sebagai antara destinasi penginapan pilihan di Lembah Klang yang menekankan aspek pemenuhan syariah, kebersihan dan kualiti perkhidmatan.

“Bagi kami, halal bukan hanya tentang sijil. Ia meliputi kebersihan, kualiti dan pematuhan syariah dalam setiap perkara daripada penyediaan makanan, kemudahan bilik hinggalah kepada operasi keseluruhan syarikat.

“Tanpa disiplin halal, mustahil kami mencapai tahap kebersihan dan kualiti seperti hari ini,” tambahnya.

Selain itu, Hotel Mardhiyyah turut menubuhkan Jawatankuasa Halal Dalaman yang melibatkan semua jabatan bagi memastikan setiap operasi mematuhi standard halal sepenuhnya. 

Katanya, proses audit halal dilaksanakan secara berkala sebagai langkah kawalan dan penambahbaikan berterusan.

“Dalam memastikan keberkesanan sistem pengurusan, hotel juga dalam proses mengamalkan piawaian MS1900, Sistem Pengurusan Kualiti Berasaskan Syariah, yang menjadi asas kepada integrasi nilai Islam dalam semua aspek pengurusan dan perkhidmatan.

“Kami mengalu-alukan kedatangan pelancong Islam dari luar negara untuk menikmati perkhidmatan berkualiti daripada bilik penginapan yang bersih dan selesa, sehingga kepada hidangan halal yang dijamin kualitinya,” katanya. 

Mardhiyyah Hotel & Suites telah dianugerahkan sebagai kategori ‘Hotel Mesra Muslim 5 Bintang Terbaik’ di Anugerah Industri Pelancongan 2025. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN